February 11, 2016

Warga emas mati dengan muka berlumuran darah

ALOR SETAR - Seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan muka berlumuran darah di hadapan rumahnya yang dalam proses ubah suai di Taman Tiong di sini kira-kira pukul 6 petang tadi.

Mayat Khor Kok Heng, 61, ditemui jirannya dalam keadaan meniarap di kawasan letak kereta rumah tersebut selepas mendengar anjing peliharaan mangsa menyalak beberapa kali.

Mangsa yang memiliki kedai jahit di sini dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Rohana Omar berkata, polis menemui ubat untuk pesakit jantung pada badan mangsa.

"Luka pada bahagian muka mangsa adalah akibat digigit dan dimakan anjing peliharaannya," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat," ujarnya. - K! ONLINE

10 Feb 2016


Jasad berdarah

Alor Setar: “Setiap hari, ayah akan datang melihat rumah yang sedang diubah suai, selain memberi makan anjing peliharaannya. Tetapi, saya terkejut apabila dihubungi jiran yang memaklumkan ayah ditemui berlumuran darah dalam keadaan tertiarap.”

Begitu kata anak perempuan mangsa berusia 15 tahun yang enggan dikenali apabila mayat bapanya, Khor Kok Heng, 61, ditemui cedera di muka dipercayai digigit anjing peliharaan selepas meninggal dunia akibat sakit jantung di hadapan pintu rumahnya yang diubah suai di Taman Tiong, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, mangsa ditemui seorang jiran wanita yang terdengar salakan anjing di rumahnya sebelum menemui lelaki itu dalam keadaan tertiarap serta cedera di muka ketika memeriksanya.

Anak mangsa berkata, ibu bapanya membuka kedai jahit di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar dan setiap hari, mendiang akan datang ke rumah itu untuk memberi anjing peliharaannya makan.

“Petang tadi (kelmarin) selepas kerja ayah menghantar saya ke rumah saudara kira-kira jam 5 petang sebelum dia terus datang ke sini (lokasi kejadian).

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian kami dihubungi jiran memberitahu menemui ayah dalam keadaan tertiarap dan berdarah di muka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Rohana Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian apabila jiran mangsa memaklumkan penemuan mayat lelaki terbabit.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa seorang penghidap sakit jantung dan kita menjumpai satu botol kecil yang dipercayai ubat sakit jantung.

“Kesan kecederaan di mukanya juga dipercayai akibat digigit anjing peliharaan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

myMetro 12 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment