February 16, 2016

Wanita temui anak kecil menangis dalam semak

Sungai Besar: Seorang wanita risaukan keselamatan seorang kanak-kanak lelaki yang ditemuinya menangis di dalam semak di Jalan 1 Bagan Sungai Besar, di sini, pada 9 Februari lalu berikutan ibu kanak-kanak itu dipercayai penagih dadah dan mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya.

Rosnah Samsuri, 60, berkata, kanak-kanak berusia setahun itu ditemui bersendirian dipercayai ditinggalkan ibunya yang mahu melepaskan gian di kawasan berhampiran yang sememangnya menjadi ‘port’ penagihan dadah.

Menurutnya, ketika melalui jalan berhampiran semak berkenaan kira-kira jam 11 pagi, dia bersama anak lelakinya terdengar suara kanak-kanak lelaki menangis.

“Pelik dengan suara itu, kami dua beranak mencari suara berkenaan sebelum menemui seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan tidak terurus dengan pakaian dipenuhi lumpur.

“Selain kasihan melihat keadaannya, kanak-kanak yang dipanggil Adam itu kelihatan tidak bermaya dan suhu badan yang agak panas dipercayai demam. Kami kemudiannya membawa pulang,” katanya ketika ditemui.

Warga emas yang mempunyai 10 anak itu berkata, dia sempat menjaga Adam selama tiga hari dan keletah kanak-kanak itu menceriakan mereka sekeluarga.

Katanya, dia bercadang membuat laporan polis mengenai penemuan itu namun terpaksa membatalkan hasrat apabila ibu kanak-kanak itu mengambil anaknya kembali, Khamis lalu selepas mengetahui anaknya dijaga Rosnah daripada jiran terdekat.

“Ibu kanak-kanak itu datang untuk ambil semula Adam, saya serahkan semula kerana tidak mengesyaki ibunya penagih dadah,” katanya.

myMetro 15 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment