February 13, 2016

Wanita OKU dirogol hingga hamil kali keempat

JEMPOL 11 Feb. – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) diperlakukan seperti alat pemuas nafsu apabila dirogol sehingga mengan­dung buat kali keempat.

Mangsa yang berusia 37 tahun dan tinggal di Felda Palong di sini sebelum ini telah melahirkan tiga orang anak tidak sah taraf berumur antara lima hingga 12 tahun akibat diperkosa.

Dalam kejadian terbaru, keluarga mangsa mengesyaki wanita itu mengandung apabila melihat perubahan sikapnya baru-baru ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, selain keadaan fizikalnya berubah, mangsa yang mengalami masalah mental juga kerap makan asam.

Menurutnya, ibu mangsa menyedari perubahan yang dialami anaknya dan selepas ujian kehamilan dibuat, wanita itu didapati mengandung tiga bulan.

Ujarnya, mangsa memberitahu bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan seorang jirannya yang berusia 50-an di rumah suspek.

“Ibu mangsa kemudian telah membuat laporan polis di Balai Polis Ladang Gaddes pada pukul 6.15 petang Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Ke­seksaan kerana merogol.

“Hasil soal siasat kejadian dipercayai berlaku pada bulan November lalu,” katanya di sini hari ini.

Noorzainy memberitahu, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis daerah pukul 3 petang ini.

Tambahnya, siasatan mendapati tiga anak mangsa sebelum ini bukan hasil hubungannya bersama suspek.

“Dua daripada anaknya diserahkan kepada keluarga angkat manakala seorang lagi dijaga oleh keluarga mangsa,” katanya.

Utusan 12 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment