February 2, 2016

Wanita maut terpijak kabel elektrik

Nurul Izzati Che Mohamed, 24.

Kota Bharu: Seorang suri rumah maut terkena renjatan selepas terpijak kabel elektrik di rumah sewanya di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Nurul Izzati Che Mohamed, 24, yang maut di tempat kejadian, melecur teruk dari pinggang ke bawah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, untuk bedah siasat.

Suami mangsa yang dikenali sebagai Iskandar, 20-an, yang cuba menyelamatkan isterinya turut cedera dan dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

myMetro 1 Feb 2014


Langsung khabar duka

Kota Bharu: “Kami terkejut selepas hampir setahun tidak mendengar khabar berita.

“Sabtu lalu, kami dimaklumkan dia sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Hasmah Mamat, 50, ibu kepada Nurul Izzati Che Mohamed, 24, yang maut selepas terkena renjatan elektrik di kedai telefon bimbitnya di Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa maut di tempat kejadian akibat melecur di bahagian bawah pinggangnya selepas dipercayai terpijak kabel elektrik yang berada di bawah meja.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Buloh, kelmarin.

Suami mangsa dikenali sebagai Iskandar berusia 20-an turut cedera ketika cuba menyelamatkan isterinya dan menerima rawatan di HRPZ II.

Difahamkan, ketika kejadian dua anak mangsa masing-masing berusia enam bulan dan dua tahun sedang tidur di dalam bilik tidur yang terletak di tingkat satu bangunan rumah kedai itu.

Hasmah berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak kedua daripada lima beradik selepas dimaklumkan keluarga angkat menantunya.

Katanya, sebelum ini, dia jarang bertemu dengan mangsa kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan selepas anaknya itu berkahwin.

“Sejak dia melahirkan anak kedua, kami tidak pernah bertemu kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Bagaimanapun Sabtu lalu, kami dimaklumkan dia sudah tiada sebelum saya dan suami bergegas ke Unit Forensik HRPZ II,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Pisang, di sini, semalam.

Menurutnya, kini dua cucunya berada di bawah jagaannya sementara menantunya dirawat di hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

myMetro 2 Feb 2016


Maut kena renjatan elektrik

KOTA BHARU - Seorang wanita maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, mangsa, Nurul Izzati Che Mohamed, 24, sedang sibuk mengemas kedai telefon yang diuruskan suaminya sebelum terkena renjatan terbabit selepas mangsa terpijak wayar elektrik yang rosak di atas lantai premis itu.

Mangsa yang melecur di badan, tangan dan muka kemudiannya menjerit meminta tolong sebelum kejadian disedari suami.

Difahamkan, suami mangsa yang dikenali sebagai Iskandar, cuba menyelamatkan isterinya itu namun turut terkena renjatan dan mengalami kecederaan di kedua belah tangannya.

Kejadian tersebut menyebabkan Nurul melecur terukk namun tidak terus ke hospital dan pulang ke kediaman ibu angkat suaminya di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) tidak jauh dari kawasan kejadian.

Kejadian itu disembunyikan dari pengetahuan keluarga namun mangsa sempat berpesan kepada ibu angkat suaminya, Halimah Wan Deris, 82, yang dia letih dan ingin berehat dan minta wanita itu jaga tiga anaknya berusia antara tiga hingga lapan bulan.

Menurut Halimah, Nurul tidak menceritakan kejadian sebenar kepadanya, namun melihat keadaan dia yang panik dan keletihan saya jadi pelik.

“Saya suruh dia pergi dapatkan rawatan di hospital namun menurut Iskandar, isterinya hanya sakit biasa dan boleh sembuh jika terus berehat dan menyapu minyak di tempat yang melecur.

“Selepas itu pada keesokannya (Ahad) saya tengok Nurul seperti biasa namun tidak banyak bercakap dan mendiamkan diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya semalam.

Halimah berkata, Nurul tidak memberitahu perkara sebenar yang berlaku dan kami terkejut selepas diberitahu dia meninggal dunia pada Ahad.

“Selepas kejadian itu, laporan polis dibuat dan akhirnya hasil siasatan polis menjelaskan kematian Nurul dipercayai terkena renjatan elektrik.

Saya serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Jenazah selamat dikebumikan di Kampung Pulau Pisang.

Sinar Harian 2 Februari 2016 


Bapa ragui punca sebenar kematian anak

KOTA BHARU - Keluarga mangsa renjatan elektrik yang meninggal dunia sehari selepas kejadian meragui kematian Nurul Izzati Che Mohamed, 24, dan mahu siasatan segera dilakukan.

Bapa mangsa, Che Mohamed Ibrahim berkata, dia meragui punca kematian anak keduanya itu memandangkan keadaan mayat anaknya amat tragis dan tidak berpakaian ketika melihat jenazah mangsa di rumah ibu angkat menantunya di Kampung Semut Api, dekat sini.

“Saya hanya dimaklumkan mengenai kematian Nurul pagi Ahad lalu kira-kira jam 7 pagi oleh bapa angkat menantu dan terus bergegas ke rumahnya yang terletak hanya lima kilometer dari kediaman kami.

“Apabila sampai di kediaman terbabit, kami ketuk pintu rumah beberapa kali yang pada mulanya dibuka ibu angkat menantu saya sebelum dia (menantu) muncul dan marah-marah kerana kami datang memenuhi pekarangan rumah itu,” katanya kepada pemberita, semalam.

Che Mohd berkata, dia mengesyaki kematian anaknya kemungkinan mempunyai unsur jenayah selepas punca kematian tidak dijelaskan.

“Keadaan mayatnya sudah berbau dan dihurung semut dan kami syak dia sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum kami dimaklumkan kematiannya

Pada kejadian pagi Sabtu lalu, Nurul dipercayai maut terkena renjatan elektrik ketika mengemas kawasan hadapan kedai telefon yang baharu tujuh bulan dibuka suaminya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lecur di bahagian pinggang hingga ke kaki dan lecur di kedua belah pipi.

Sinar Harian 3 Februari 2016 

0 comments:

Post a Comment