February 25, 2016

Wanita maut kereta terbabas dirempuh

KEADAAN Perodua Viva yang dinaiki mangsa sekeluarga selepas berpusing dan terbalik ke dalam longkang. FOTO ihsan Polis

Sungai Petani: Wanita maut, manakala empat ahli keluarganya cedera selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 102.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Sungai Petani, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kejadian berlaku 3.50 pagi apabila Perodua Viva dinaiki lima sekeluarga terbabit dilanggar dari belakang oleh Toyota Altis dipercayai dipandu seorang lelaki.

Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa Lim Hui Wen, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

"Siasatan awal polis mendapati ketika kejadian kedua-dua kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Butterworth menuju ke Alor Setar.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu Toyota Altis dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar belakang kereta keluarga terbabit.

Katanya, pelanggaran kuat mengakibatkan kereta mangsa terbabas ke kiri jalan lalu berpusing dan terbalik ke dalam longkang berhampiran.

"Mangsa yang cedera ringan dikenali sebagai Lim Sai Kim, 63; Tan Swan Cheok, 57 ; Um Hui Ying, 25; dan Ong Chu Liang, 25," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 24 Februari 2016


Wanita maut kereta kena rempuh

Keadaan kereta Perodua Viva yang terbalik di dalam longkang selepas terlibat kemalangan.

SUNGAI PETANI - Seorang wanita maut selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya dirempuh kereta lain di Kilometer 102.3 Lebuhraya Utara Selatan dari utara, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa, Lim Hui Wen, 26, dari Kampung Baru Sungai Lalang, Bedong, di sini, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Manakala, empat lagi ahli keluarga lain yang berada dalam kereta itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan seperti kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, siasatan awal mendapati, kereta Perodua Viva yang dipandu adik ipar mangsa, Ong Chu Liang, 25, itu dari Butterworth menuju ke Alor Setar sebelum dilanggar sebuah kereta Toyota Altis dari arah sama.

“Pemandu Toyota Altis dipercayai gagal mengawal keretanya kemudian melanggar bahagian belakang kereta dinaiki lima sekeluarga itu.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta dinaiki keluarga terbabit terbabas ke kiri jalan dan berpusing sebelum terbalik ke dalam longkang,” katanya.

Md Zukir berkata, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang adalah anak kepada dua lagi mangsa yang cedera iaitu bapanya, Lim Sai Kim, 63, dan ibu, Tan Swan Cheok, 57.

“Ayahnya yang berada di tempat duduk (sebelah kanan) penumpang belakang, dan ibunya yang berada di (tengah) tempat duduk penumpang belakang, masing-masing mengalami luka pada kaki dan tangan.

“Turut cedera ialah menantu kepada pasangan suami isteri terbabit, Chu Liang dan penumpang hadapan, Um Hui Ying, 25,” katanya.

Mayat mangsa maut dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Sinar Harian 25 Februari 2016





0 comments:

Post a Comment