February 10, 2016

'Usus anak saya tiada urat saraf'

Keadaan perut Mohd Izzua Hakim yang berparut kesan pembedahan.

SEGAMAT – Siapa sangka di sebalik kelincahan dan keaktifan fizikal seorang kanak-kanak berumur empat tahun di Felda Palong Timur 2, di sini, dia sebenarnya sedang menderita kerana menghidap penyakit usus tiada urat saraf (hirschprungh disease).

Ibu kanak-kanak itu, Siti Norhawa Mohd Yasin, 25, berkata, anaknya, Mohd Izzua Hakim Mustaqim, 4, mula dikesan penyakit tersebut di Hospital Daerah Segamat (HDS) pada tahun 2012, beberapa hari selepas dia dilahirkan.

“Anak saya dilahirkan tidak cukup bulan. Dia dilahirkan pada usia kandungan 32 minggu dengan berat 1.6 kilogram (kg) ketika itu sehingga terpaksa ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HDS.

“Ketika di NICU, doktor mendapati Hakim tidak buang air besar langsung seperti bayi lain walaupun selepas tiga hari dilahirkan, sebelum kes anak saya ini dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usianya tiga minggu,” katanya.

Ibu muda tersebut ditemui di rumah keluarganya semasa menerima lawatan dan penyerahan sumbangan daripada rombongan Muafakat Segamat di Felda Palong Timur 2, di sini, baru-baru ini.

Katanya, semasa di HKL, doktor melakukan biopsi dan mengambil sampel di bahagian rektum anaknya itu dan mendapati usus besar Mohd Izzua Hakim bercantum bersama usus kecil selain ususnya tidak mempunyai urat saraf.

“Disebabkan penyakitnya itu, anak saya tidak boleh langsung buang air besar melalui dubur dan doktor menebuk bahagian perutnya bagi membolehkan najis keluar.

“Kemudian, pada umurnya lapan bulan, Hakim menjalani pembedahan pertamanya di HKL bagi membuang usus besar dan kecil yang bercantum namun dia masih tidak mempunyai deria untuk membuang air besar,” katanya.

Katanya, selepas pembedahan itu, dia juga terpaksa masukkan jari pada lubang dubur anaknya dua hingga empat kali sehari bagi membolehkan anaknya itu buang air besar.

Tambah malang, pada usia anaknya setahun enam bulan, usus Hakim didapati bocor dan najisnya juga telah memasuki badan.

“Ketika itu, dia hampir nazak dan selepas pembedahan kedua ini, ususnya juga semakin pendek dan pada usianya dua tahun, dia tidak boleh minum sebarang susu ibu atau formula dan terpaksa minum air suam sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suaminya, Elisman Yazid Husin, 35, juga terpaksa berulang-alik setiap dua bulan sekali ke HKL untuk mendapatkan rawatan susulan dan dia yang tidak bekerja terpaksa mengharapkan pendapatan suaminya yang bekerja sendiri.

Katanya, dia juga terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan untuk anaknya selain bergantung kepada bantuan bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sinar Harian 9 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment