February 8, 2016

Tragedi mandi di parit

Suasana operasi mencari mangsa sebelum ditemui dan pegawai bomba menenangkan ahli keluarga mangsa. FOTO Syarafiq Abd Samad

Ledang: Banjir di Johor meragut nyawa pertama apabila remaja lelaki berusia 14 tahun lemas ketika mandi parit di Kampung Tanjung Labuh, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Abd Hadi Abd Hamid, lemas selepas mandi bersama dua rakannya dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.53 petang sebelum sebuah jentera dan kenderaan utiliti membabitkan lapan anggota serta dua pegawai ke lokasi.

"Apabila tiba, kami dapati benar ada remaja lelaki hilang di parit berkenaan dan usaha mengesan dan mencari mangsa dilakukan pada 3.06 petang.

"Pada 3.14 petang, kami berjaya mengeluarkan mangsa dari dasar parit sedalam kira-kira 3.6 meter dengan jarak 6 meter dari tempat dia terjun," katanya ketika ditemui, petang tadi.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

myMetro 7 Februari 2016


Remaja 14 tahun lemas mandi air bah

SEORANG anggota paramedik memberi bantuan kecemasan kepada Abdul Hadi di Kampung Tanjung Labuh, Ledang semalam.

LEDANG – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menjadi korban pertama banjir di Johor apabila dia lemas ketika bermandi-manda di sebatang parit di Kampung Tanjung Labuh di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Azhar Elmi Mustofar berkata, remaja itu dikenali sebagai Abdul Hadi Abdul Hamid dipercayai lemas ketika sedang mandi bersama dua rakannya pada kira-kira pukul 2.30 petang.

Beliau berkata, pihak­nya yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.53 petang telah menggerakkan sebuah jentera dan kenderaan utiliti bersama lapan anggota serta dua pegawai ke lokasi kejadian.

“Usaha mengesan dan mencari mangsa dilakukan kira-kira pukul 3.06 petang dan pada pukul 3.14 petang, bomba berjaya menemui dan mengeluar­kan mangsa dari dasar parit sedalam kira-kira 3.6 meter,” katanya ketika dihubungi semalam.

Daerah Ledang dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan kelmarin.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Hamid Buang@Hassan, 43, berkata, dia terkejut apabila mengetahui anaknya yang tidak gemar mandi sungai, lemas dalam kejadian itu.

Abdul Hamid berkata, anak kedua daripada empat beradik itu tidak mahir berenang dan jarang mandi di sungai sebelum ini.

“Saya bagaimanapun reda kerana ajalnya telah ditetapkan oleh Allah.

“Setahu saya, arwah tidak gemar mandi di sungai apatah lagi bermain (air) banjir. Saya tidak tahu kenapa hari ini (semalam) dia pergi mandi di sungai,” katanya di sini.

Kosmo 8 Feb 2016


‘Tak sampai 10 minit dia keluar’

TANGKAK - “Dia ada minta izin nak pergi ke seberang parit tengok rakan-rakannya mandi. Tak sampai 10 minit, jiran datang maklumkan dia dah lemas."

Demikian luah Norhaini Ali, ibu kepada Abd Hadi Abd Hamid, mangsa banjir pertama di Johor kelmarin.

Menurut Norhaini, 40, dia tidak menyangka permintaan itu juga merupakan kata-kata terakhir arwah kepadanya sebelum anaknya itu ditemui lemas kira-kira 300 meter dari kediamannya.

“Setiap kali nak keluar, dia memang akan minta izin. Saya seakan tak percaya dia terjun ke parit itu sebab kami semua tahu yang dia langsung tidak pandai berenang dan tidak gemar mandi sungai seperti orang lain.

“Tambahan pula, dia pernah maklumkan kepada saya yang dia tidak akan pergi ke parit itu kerana ada lintah selain airnya yang kotor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Difahamkan, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang itu pada mulanya hanya memerhatikan dari sebuah pondok sebelum dipercayai terjun ketika rakan-rakannya selesai mandi.

Menurut Norhaini, sebelum kejadian, arwah anaknya itu juga tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Dia memang seorang yang agak pendiam termasuk dengan kami sekeluarga.

“Tapi seperti kebiasaannya, menjelang cuti persekolahan dia akan bantu bapanya di bengkel motosikal. Cuma sejak beberapa minggu kebelakangan ini dia nampak kurang berminat untuk mengikut bapanya,” ujarnya.

Norhaini juga menyifatkan anak kedua daripada empat beradik itu memang seorang anak yang baik dan tidak banyak ragam.

“Sebab itu setiap kali hendak keluar walaupun berdekatan rumah, dia mesti akan maklumkan kepada saya,” katanya.

Abd Hadi meninggal dunia akibat lemas setelah terjun ke dalam parit di Kampung Tanjung Labuh di sini Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, mayat mangsa ditemui anggota bomba dan penyelamat dan JPAM yang melakukan pencarian pada jarak enam meter dari tempat mangsa dipercayai terjun.

Difahamkan, mangsa terkapai-kapai sebaik terjun ke dalam parit yang paras air ketika itu meningkat pada 3.6 meter berikutan banjir. Mayat mangsa ditemui di dasar parit.

Sinar Harian 9 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment