February 22, 2016

Tiga pelancong cedera parah


Langkawi: Tiga pelancong asing cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan selepas van dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Pantai Tengah di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 petang itu, empat mangsa terbabit menaiki van dipandu seorang lelaki tempatan yang turut cedera. Bagaimanapun, empat mangsa dalam kereta Proton Saga Aeroback yang terbabit dalam kemalangan itu, juga pelancong asing, tidak cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra Penolong Penguasa Bomba Mohd Akmal Mohd Khairi berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.45 petang.

“Dua jentera termasuk EMRS bersama lapan anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian dan mendapati dua kenderaan terbabit dalam kemalangan iaitu sebuah van dinaiki lima mangsa dan sebuah kereta Proton Saga Aeroback bersama empat mangsa," katanya.

Operasi menyelamat turut disertai anggota pasukan keselamatan lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Langkawi menggunakan ambulans dan EMRS.

myMetro 21 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment