February 29, 2016

Tiga beranak ditemui mati rentung

KOTA SAMARAHAN - Tiga beranak ditemui mati rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah bilik sewa di tingkat tiga bangunan rumah kedai di Bandar Baru Kota Samarahan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Saruji Arip, 42, isterinya, Saidatul Farhanah Mohd Yusof, 29 dan anak mereka, Mohamad Norhaqimi Mohd Ziqri berusia 3 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.32 tengah hari.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketiga-tiga mangsa ditemui rentung dengan kira-kira 90 peratus tubuh badan mereka terbakar.

"Buat masa ini, kita masih menyiasat punca kejadian dan tindakan selanjutnya akan diserahkan kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan, Lee Chong Chern yang turut dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut. - K! ONLINE

29 Feb 2016


Tiga beranak rentung dalam bilik

Mayat salah seorang mangsa dibawa turun dari tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai di Bandar Baru Kota Samarahan semalam.

KOTA SAMARAHAN – Tiga beranak ditemui mati rentung dalam satu kebakaran melibatkan sebuah bilik sewa di tingkat tiga bangunan rumah kedai di Bandar Baru Kota Samarahan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Saruji Arip, 42, isterinya, Syaidatul Farhanah Md. Yusof, 29, dan anak lelaki mereka, Muhammad Nur Haqinie Muhammad Zaqri Zairy berusia tiga tahun.

Polis tidak menolak kemungkinan besar kejadian tersebut adalah kes bunuh diri kerana hanya bilik tidur di rumah berkenaan yang terbakar.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, mayat Saruji yang bekerja sebagai pemandu di Jabatan Imigresen Cawangan Kota Samarahan ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam bilik tidur di situ.

Katanya, mayat isterinya yang merupakan kerani di Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Kota Samarahan dan anak tirinya pula ditemui terbaring di bawah katil di dalam bilik sama.

“Siasatan awal mendapati, tiada unsur-unsur jenayah mahupun senjata ditemui di dalam bilik sewa tersebut.

“Mayat ketiga-tiga mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, Chong Chern memberitahu, siasatan lanjut juga sedang dijalankan sama ada semua mangsa meninggal dunia akibat kebakaran atau disebabkan perkara lain.

Kosmo 1 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment