February 3, 2016

Tidak sangka ajakan suami bersia-siar tanda 'perpisahan'

Mangsa yang cedera parah di kepala selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Hidayah, Bukit Payong.

MARANG - Mungkin sudah ditakdirkan Fatimah Adam, 44, terpaksa membesarkan empat anaknya, Mohd Afrizal, 24, Nazli, 22, Shaqilla, 14, serta Muhammad Haris Syakir, 3, bersendirian selepas kehilangan tempat bergantung.

Suaminya, Mohd Baharuddin Jusoh, 50, meninggal dunia pagi tadi, selepas motosikal ditunggangi terlibat kemalangan jalan raya di Taman Hidayah, Bukit Payong di sini, tengahari semalam.

Dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari, mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas berlanggar dengan sebuah lagi motosikal di persimpangan empat.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu oleh orang awam dan dihantar ke Unit Rawatan Rapi sebelum dipindahkan ke wad biasa apabila keadaannya didapati stabil namun meninggal dunia awal pagi tadi.

Fatimah, yang tinggal di Tok Dir berkata, dia tidak menyangka ajakan suaminya untuk keluar bersiar-siar bersama anak sulung mereka di Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu dua hari sebelum kejadian kini menjadi kenangan terakhir dalam hidupnya.

“Ketika dalam perjalanan, dia juga singgah di Medan Jaya, Rusila. Dia (arwah) tunjukkan rumah yang telah disiapkannya. Saya hairan kerana sebelum ini, saya suruh dia bawa saya berjalan-jalan sambil lihat rumah yang dia buat, dia tak pernah bawa.

“Hari ini (semalam) saya dapat jawapannya, namun saya  masih tidak menyangka akan kehilangannya pada masa ini. Kehilangan ini menyebabkan kami hilang tempat bergantung kerana anak-anak juga bergantung kepada pekerjaan dilakukannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, kes itu disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987.

Sinar Harian 2 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment