February 19, 2016

Tersepit dalam kereta

Keadaan kereta mangsa yang remuk.

BAGAN SERAI - Malang tidak berbau buat seorang wanita apabila terpaksa menderita tersepit dalam kereta selama 20 minit dalam kejadian kemalangan di Kilometer 115, Jalan Ipoh-Butterworth, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 10.29 malam itu, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu.

Menurutnya, Proton Iswara didapati remuk manakala sebuah lori terbalik dan menghalang laluan utama.

“Siasatan polis mendapati, punca kemalangan berlaku disebabkan kereta yang dipandu pasangan terbabit datang dari arah Parit Buntar menghala Bagan Serai memasuki ke laluan bertentangan dan merempuh tayar belakang sebelah kanan lori terbabit.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa, Siti Zulaika Mat Sariff, 26, di tempat duduk penumpang hadapan tersepit manakala lori itu terbalik merentangi jalan utama,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa tersepit diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, namun tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar sejurus dikejarkan ke Hospital Parit Buntar.

“Pemandu kereta berusia 23 tahun dan pemandu lori berusia 46 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kejadian terbabit turut menyebabkan laluan trafik dari kedua-dua arah mengalami kesesakan lebih sejam,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Penolong Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya mengambil masa sekitar 15 minit bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan kit keselamatan.

Sinar Harian 19 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment