February 1, 2016

Terpelanting atas jalan

Keadaan motor milik mangsa yang bertembung sebuah van dalam kemalangan semalam.

BALIK PULAU - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum bertembung dengan sebuah van di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas di sini tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Hafiz Abd Rashid, 22, yang menunggang motosikal bersendirian disahkan maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Lai Fah Hin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Bayan Lepas menghala ke Teluk Kumbar cuba memotong sebuah kenderaan lain, lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah van.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan melalui satu selekoh dan cuba memintas sebuah kenderaan namun dia terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa tidak sempat mengelak kenderaan yang datang dari arah bertentangan sebelum merempuh sebuah van dan terpelanting di atas jalan raya,“ katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Fah Hin berkata, mangsa yang berasal dari Jalan Baru, Balik Pulau disahkan mati di tempat kejadian.

Bagaimanapun pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 25 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment