February 16, 2016

Terlebih tekan pedal

KEADAAN kereta selepas merempuh wanita yang sedang berjalan.

Ampang: Tertekan pedal minyak kereta berlebihan menjadi punca seorang pemandu merempuh seorang wanita hingga tercampak ke dalam longkang.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, mangsa berusia 45 tahun terjatuh ke dalam longkang sejurus dirempuh kereta secara mengundur di Taman Permata, Hulu Klang di sini.

Mangsa ditemui terbaring di dalam longkang selepas dirempuh kereta model Proton Saga ketika sedang berjalan melalui kawasan itu.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur berkata, kejadian berlaku ketika pemandu wanita berusia 20-an terbabit mahu meletakkan kenderaannya di kawasan parkir berhampiran.

Katanya, mangsa dikatakan berjalan kaki di belakang kereta yang sedang mengundur itu.

“Difahamkan pemandu wanita terbabit cuba untuk menekan pedal brek, tetapi dia tersalah tekan pedal minyak menyebabkan kereta mengundur dengan laju dan melanggar mangsa.

“Kejadian turut menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam longkang sedalam satu meter. Seramai empat anggota JPAM dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Jurucakap JPAM Kuala Lumpur berkata, mangsa dibawa keluar dari longkang itu.

Katanya, mangsa yang cedera di kepala dan leher diberikan rawatan awal oleh anggota JPAM sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, difahamkan pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

myMetro 16 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment