February 26, 2016

Tergamak curi wang ibu

Fatimah mengambil alih menjaga Adam selepas ditinggalkan ibunya sejak enam bulan lalu.

PASIR GUDANG - Seorang ibu kecewa apabila anak perempuan yang disangka pulang mahu berjumpa dengan anak ditinggalkan sejak enam bulan lalu, rupanya melarikan wang miliknya.

Ibu tunggal yang ingin dikenali sebagai Fatimah, 51, berkata, wang berjumlah RM300 itu disimpan di bawah bantal untuk melangsaikan sewa rumah yang dihuni bersama seorang cucu orang kurang upaya (OKU), Adam berusia 7 tahun.

Menurutnya, pendapatannya hanya bergantung kepada hasil menjual aiskrim Malaysia, selain wang bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM450 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM150.

“Saya tak sangka dia tergamak curi duit yang saya simpan untuk bayar sewa rumah dan membeli barangan dapur kerana saya fikir dia pulang kerana rindukan anak kandungnya.

“Dia sebagai anak kedua sepatutnya membantu meringankan beban saya yang sanggup menjaga anaknya yang OKU, tapi boleh pula dia mencuri duit yang saya gunakan berjimat cermat untuk menyara hidup kami,” katanya.

Fatimah yang juga mualaf berkata, dia hanya mampu menjual aiskrim Malaysia dengan pendapatan RM20 seminggu selepas mengalami masalah saraf sehingga menyukarkannya menggerakkan tangan.

Menurutnya, Adam mengalami masalah darah beku di empat bahagian otak sehingga menjejaskan sarafnya dan akan menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 15 Mac depan.

“Saya memerlukan bantuan kerusi roda untuk kegunaan Adam kerana dia tak dapat berjalan dengan normal, selain berbual juga secara tak normal dan mengalami masalah hiperaktif.

“Saya juga perlu menjalani pembedahan saraf pada 2 Mac depan di HSI dan mungkin memerlukan bantuan jiran untuk menjaga Adam,” katanya.

Sinar Harian 25 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment