February 8, 2016

Tempat pembuangan sampah terbakar


Kajang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Bangi sehingga kini terpaksa berkawal di tempat pembuangan sampah berdekatan kawasan perusahaan Sungai Tangkas, Jalan Reko Bangi, berikutan api masih belum dipadamkan sepenuhnya akibat berlaku kebakaran pada jam 2.58 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, Azmel Kamarudin berkata, pihaknya perlu mengawasi kawasan terbabit berikutan api sukar untuk dipadamkan sepenuhnya.

Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama dua lori tangki ditempatkan di kawasan bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan premis perusahaan berdekatan.

"Sehingga jam 12 tengah hari bomba masih berusaha untuk memadam kebakaran sampah yang berlaku di kawasan seluas 100 meter persegi terbabit.

"Bomba terpaksa mengawasi kebakaran berkenaan kerana api kembali marak selepas beberapa jam dipadamkan berikutan terdapat banyak bahan buangan mudah terbakar seperti kayu, plastik, kertas dan sebagainya.

"Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. kita sedang berusaha untuk berhubung dengan pihak Majlis Perbandaran Kajang untuk membantu mendapatkan jentera pengaut bagi memudahkan tugas pemadaman," katanya ketika dihubungi.

Azmel berkata, bomba akan berkawal dikawasan terbabit sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Katanya, siasatan juga akan dilakukan berhubung punca kebakaran terbabit.

"Bagaimanapun, tindakan lanjut akan diserahkan kepada Majlis Daerah Kajang dan Jabatan Tanah," katanya.

myMetro 8 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment