February 29, 2016

Tauke cilik OKU cipta inovasi

Muhamad Nurrahman menerangkan produknya kepada guru dan pelajar.

Muhammad Nurrahman menerangkan sesuatu kepada Ommi Kalsom (kanan).

Ommi Kalsom (dua, kanan) bersama guru lain melepaskan anak ayam kampung yang ditetaskan dalam produk ciptaan Muhamad Nurrahman sebagai gimik perasmian.

KUALA KURAU - Selepas menempah sejarah sebagai tauke cilik orang kurang upaya (OKU) pertama mengusahakan ternakan ayam kampung secara komersil, pelajar Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau, Muhammad Nurrahman Mansor, 14, terus memberi kejutan kepada penduduk Kerian.

Selepas menternak dan memasarkan lebih 100 ekor ayam kampung dalam tempoh setahun, Muhammad Nurrahman yang mengambil kelas pendidikan khas tidak menoleh ke belakang untuk menghasilkan satu produk inovatif berasaskan pengeraman telur ayam.

Bermula daripada pengkajian teknik pengeraman telur melalui aplikasi sosial Youtube, diikuti percubaan penghasilan sistem pendawaian produk, kawalan suhu tepat dan penilaian jangka masa tempoh telur dieram, siapa sangka seorang pelajar lembam mampu menghasilkan produk unik dan berpotensi tinggi dikomersialkan.

Lebih membanggakan, produk inovasi ciptaan Muhammad Nurrahman turut mendapat perhatian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian dan Jabatan Veterinar yang sudi hadir menyaksikan sendiri sesi demonstrasi khas penggunaan produk inovasi dihasilkan itu.

Muhammad Nurrahman berkata, di sebalik kejayaanya, dia akui hampir berputus asa untuk menghasilkan produk inovasi itu setelah beberapa kali percubaannya gagal.

Namun, sikap tidak berputus asa dan sokongan guru-guru pendidikan khas membangkitkan semangat saya.

“Idea asal penghasilan alat mengeram dan menetas telur ayam difikirkan setelah saya mendapati kos membeli anak ayam amat tinggi.

“Dari situ, saya bayangkan alangkah baiknya saya mempunyai sebuah alat khas yang membantu mengeram dan menetaskan telur ayam.

“Saya mula mengkaji melalui Youtube dan satu produk inovatif ringkas dihasilkan dengan menggunakan barang kitar semula,” katanya.

Turut hadir, bekas Pegawai Pendidikan Daerah, Ommi Kalsom Mohammad.

Mampu eram 80 biji telur

Muhammad Nurrahman berkata, mekanisme penggunaan produk inovasi ciptaannya agak sofistikated meskipun menggunakan peralatan mudah didapati termasuk mewujudkan alat kawalan suhu automatik pada kotak penetasan.

Menurutnya, produk itu mampu mengeram dan menetaskan 60 hingga 80 biji telur dalam satu masa.

“Produk dicipta lengkap dengan alat kawalan suhu automatik bagi memastikan lampu mentol yang berfungsi sebagai alat pemanas telur akan terpadam sendiri setelah suhu melebihi 38 darjah selsius.

“Kajian yang dihasilkan selama tiga bulan ternyata memberi pulangan kepada saya apabila tidak lagi menanggung kos membeli anak ayam,” katanya.

Muhammad Nurrahman berkata, kejayaan produk ciptaannya turut menarik kehadiran penduduk setempat sehingga ada yang sanggup mengupahnya menetaskan telur ayam kampung mereka.

“Ciptaan saya ini turut menjadi perhatian beberapa tauke ayam sehingga mereka sanggup tawarkan upah lumayan bagi mencipta satu lagi produk.

“Saya memandang serius usaha mengkomersialkan produk inovasi dibuat pada skala besar dan berharap ada pihak yang sanggup tampil merealisasikan hasrat saya itu,” katanya.

Inisiatif Muhammad Nurrahman wajar jadi contoh

Sementara itu, Guru Projek Perintis Penternakan Ayam Kampung SK Kuala Kurau, Najmi Rajli menegaskan inisiatif Muhammad Nurrahman mencipta produk inovasi berasaskan minatnya sendiri sewajarnya dijadikan contoh bagi menggalakkan kelahiran lebih ramai pelajar sedemikian.

Menurutnya, usaha melahirkan lebih ramai Muhammad Nurrahman akan diteruskan menerusi perlaksanaan projek penternakan ayam kampung susulan yang dijangka bakal hasilkan 500 ayam kampung untuk dijual.

Sinar Harian 29 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment