February 23, 2016

Tapak pelupusan sampah terbakar

ANGGOTA bomba giat menjalankan kerja pemadaman api di Tapak Pelupusan Sampah Padang Siding di Pauh, Arau. FOTO Aizat Sharif

Arau: Satu kebakaran besar berlaku di Tapak Pelupusan Sampah Padang Siding di Pauh, Arau awal pagi ini.

Kebakaran yang membabitkan longgokan sampah domestik itu dipercayai berlaku sekitar 6.30 pagi di atas tapak yang berkeluasan 11.7 hektar itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis, Penguasa Bomba Kanan 1, Mohd Fadzil Haroon berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.15 pagi oleh kakitangan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang bertugas di tapak pelupusan sampah ini.

"Anggota dari Balai Bomba Arau dan Balai Bomba Simpang Empat seramai 30 orang dan tiga jentera bomba tiba di lokasi pada 7.25 pagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau menambah kawasan yang terbakar adalah sekitar 0.8 hektar sahaja namun cuaca panas dan angin kuat menyebabkan api merebak dengan cepat.

"Api berjaya dikawal satu jam selepas itu namun langkah kawalan kebakaran masih diteruskan di tempat kejadian bagi membendung kebakaran dari terus merebak," katanya lagi.

Punca kebakaran masih disiasat.

"Masyarakat yang tinggal sekitar kawasan tapak pelupusan sampah itu dinasihatkan memakai topeng penutup hidung bagi mengelakkan terhidu asap kebakaran dari tapak pelupusan itu," katanya lagi.

Kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan itu adalah yang kedua dalam masa dua tahun selepas 2014.

myMetro 23 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment