February 22, 2016

Tak sempat tatap wajah anak

JERTIH - Dua lelaki maut apabila motosikal ditunggangi mereka bertembung dalam kejadian di simpang jalan Kampung Paya, dekat Kampung Baharu, Kuala Besut, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam itu, kedua-dua mangsa, Abdul Aziz Ismail, 46, menunggang motosikal Honda Future dan Irwan Ismail, 24, menunggang motosikal Honda EX5, maut di tempat kejadian.

Abdul Aziz meninggalkan seorang balu sedang hamil tujuh bulan, sementara Irwan meninggalkan isteri sedang hamil anak sulung berusia dua bulan.

Isteri Abdul Aziz, Maslinda Mohamad, 45, berkata, berita sedih itu diterima daripada mentua yang tinggal di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu ketika dia bersama lapan anak berusia 3 hingga 17 tahun berada di rumah sewa mereka di Rumah Awam Kampung Raja.

Sementara itu, Irwan yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan, baru melangsungkan perkahwinan dengan Siti Sazwani Ruzmin, 24, dari Kampung Gong Manok, Kuala Besut pada Jun tahun lalu.

Siti Sazwani kini hamil dua bulan, namun takdir menentukan Irwan tidak sempat menatap bayinya itu apabila maut dalam perjalanan menjemput isteri pulang bekerja di sebuah pasar raya di Kuala Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila sebuah daripada motosikal terbabit hilang kawalan, lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta hubungi Inspektor Wafi Azrul Suati atau Balai Trafik Daerah Besut," katanya.

Sinar Harian 21 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment