February 8, 2016

Tak sempat sampai


Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu.

JERTEH -  Hasrat tiga bersaudara untuk pulang bercuti di Pasir Mas, Kelantan, sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut selepas kereta dinaiki bertembung sebuah lori treler di Kilometer 90 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Tok Dor, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, penumpang kereta Perodua Myvi terbabit, Muhammad Danish Iskandar Zahari, 7, meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu, Muhammad Faisal Mohd Rani, 21, meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, abang Muhammad Danish iaitu Muhammad Amirul Danial, 10, cedera dan dirawat di Hospital Besut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, Muhammad Faisal bersama dua anak saudaranya itu dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor, untuk pulang ke Kampung Banggol Che Wan, Pasir Mas.

“Kejadian dikatakan berlaku apabila kereta dipandu Muhammad Faisal cuba memotong kenderaan di hadapan tetapi gagal sebelum bertembung lori treler yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu lori itu dikatakan cuba mengelak ke sebelah kiri bahu jalan tetapi kereta mangsa masih berada di laluan treler tersebut dan berlaku pelanggaran,” katanya.

Khaled berkata, pertembungan itu menyebabkan kerosakan teruk terhadap kenderaan mangsa sehingga penumpang belakang, Muhammad Danish Iskandar maut di tempat kejadian dan bapa saudaranya maut setiba di Hospital Besut.

"Muhammad Amirul Danial yang duduk di tempat penumpang hadapan pula cedera di beberapa bahagian badan. Kedua-dua kanak-kanak itu merupakan murid Tahun Satu dan 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang.

"Manakala Muhammad Faisal difahamkan bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor. Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat,” katanya.

Kata beliau lagi, pemandu lori, Emyhaizi Ahmad, 27, dan kelindan, Mohamad Fahmi Najmi Muhamad, 18, masing-masing berasal dari Kampung Langkap, Bandar Permaisuri, Setiu, tidak cedera.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Mustafa Ismail berkata, seramai enam anggota J dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, pihaknya telah mengeluarkan tiga mangsa di dalam kenderaan tersebut termasuk pemandu kereta yang tersepit.

Sinar Harian 6 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment