February 25, 2016

Tak dengar lori undur

MAYAT ditutup kanvas di bawah lori sampah.

Kuching: Hasrat seorang warga emas menikmati mi kolok bersama cucu perempuannya tidak kesampaian apabila dia maut dilanggar lori sampah yang mengundur berhampiran rumahnya di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Kebi Saban, 77, maut di lokasi kejadian akibat parah digilis lori itu.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mi kolok dari kedai makan berhampiran untuk cucunya.

Menurutnya, mangsa yang dikatakan mengalami masalah pendengaran berjalan di belakang lori yang memungut sampah di kawasan perumahan itu.

“Pekerja yang berada di belakang lori menyuruh mangsa beredar kerana kenderaan itu mengundur. Namun, mangsa yang mengalami masalah pendengaran tidak mengendahkannya.

“Pekerja terbabit mengarahkan pemandu supaya berhenti namun dia tidak mendengar arahan itu dan terus mengundurkan kenderaannya.

“Mangsa parah kerana digilis dari paras kaki ke badan dan pasukan paramedik mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan pemandu lori membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Ng Ah Lek berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 25 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment