February 19, 2016

Suami isteri 'pergi bersama'

Antara kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Ulu Choh Johor Bahru.

ANGGOTA bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba

Johor Bahru: Dua maut manakala tiga yang lain cedera selepas lima kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Johor Bahru-Pontian, semalam.

Dalam kemalangan jam 4.30 petang, pemandu Toyota Hilux, Junaidi Yunus, 55, dan isterinya, Fauziah Hanim Mohd Hashim, 53, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan dinaiki mangsa yang dalam perjalanan dari Pontian ke Johor Bahru hilang kawalan kerana mengelak besi yang melayang di atas jalan.

“Kejadian itu menyebabkan kenderaan dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori berpunca daripada kecuaian lori lain akibat besi dibawa terjatuh ke atas jalan raya.

“Kejadian itu mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulai untuk di bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas Saiful Bahari Safar berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

myMetro 17 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment