February 19, 2016

Suami isteri maut, anak parah

KENDERAAN yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis

MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis

Bentong: Suami isteri maut apabila kenderaan dinaiki merempuh bas ekspres di Kilometer 4 Jalan Bentong-Raub berhampiran Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batalion 25 di sini, 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritenden Mohammad Mansor Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta terbabas memasuki lorong bas yang dalam perjalan dari Kuala Lumpur ke Kelantan.

Katanya, kemalangan menyebabkan penumpang belakang kereta terbabit tercampak keluar dan maut di tempat kejadian.

"Manakala penumpang lelaki di depan disahkan mati di hospital dan pemandunya parah selepas tersepit.

"Pemandu bas bersama 11 penumpang pula tidak cedera," katanya.

Menurut Mansor, mereka yang maut adalah Mohammad Nur Said, 69, dan Siti Hawa Razak, 57, berasal dari Kampung Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan. Manakala, mangsa parah adalah anak mereka, Mohd Azuan Mohammad Nur, 30.

"Semua mangsa kini dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan dan bedah siasat," katanya.

myMetro 18 Februari 2016


Suami isteri tidak sempat lawat cucu

Perodua Alza dipandu anak bertembung bas

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta Perodua Alza selepas terbabit kemalangan maut di Kilometer 4 Jalan Bentong-Raub, Bentong, Pahang, semalam.

BENTONG 18 Feb. - Hajat sepasang suami isteri untuk menjenguk anak dan cucu mereka di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub, di sini malam tadi.

Mangsa, Mohammad Nur Said, 69, dan isterinya, Siti Hawa Razak, 57, yang menetap di Pasir Mas, Kelantan maut selepas kereta Perodua Alza yang dipandu anak lelaki mereka, Mohd. Azuan Mohammad Nur, 30, bertembung dengan sebuah bas ekspres dua tingkat di tempat kejadian kira-kira pukul 11 malam.
Utusan Malaysia difahamkan, Mohd. Azuan baru melawat isteri­nya yang sedang dalam pantang bersalin di rumah mertuanya juga di Pasir Mas selepas melahirkan anak kedua mereka.

Dia yang pulang semula ke Kuala Lumpur malam tadi membawa bersama ibu dan bapanya (Mohammad Nur dan Siti Hawa) yang berhajat menjenguk anak serta cucu mereka yang menetap di Kuala Lumpur.

Ketua Polis daerah, Superinten­den Mohamad Mansor Mohd. Nor berkata, ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan dinaiki tiga beranak itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan dan terbabas.

Menurutnya, akibat kejadian itu, Siti Hawa tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohammad Nur meninggal dunia ketika dirawat di Hospital. Bentong.

“Mohd. Azuan yang meman­du kenderaan itu cedera parah manakala pemandu dan 11 penumpang bas ekspres berke­naan tidak mengalami kecede­raan,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Mansor memberi­tahu, mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di Hospital Bentong dan Mohd. Azuan menerima rawatan di hospital sama.

Ujarnya, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, media turut digemparkan dengan dakwaan terdapat seorang bayi yang tercampak dari kenderaan berikutan penemuan pakaian bayi di tempat kejadian.

Bagaimanapun, Mohamad Mansor menafikan dakwaan tersebut dan Utusan Malaysia difahamkan pakaian itu dibawa bersama mang­sa bagi memudahkan urusan membawa pulang keluarganya ke ibu negara selepas isterinya selesai pantang bersalin bulan depan.

Utusan 19 Feb 2016


Ayah, ibu rahsiakan kedatangan ke KL

PASIR MAS 18 Feb. – Pasangan suami isteri, Mohammad Nur Said, 69, dan Siti Hawa Razak, 57, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub, Pahang, di sini malam tadi merahsiakan kedatangan mereka ke Kuala Lumpur untuk mengejutkan anak dan cucu mereka di sana.

Anak kedua pasangan itu, Siti Norhayati Mohammad Nur, 39, berkata, ibu dan ayahnya berangkat ke ibu negara bersama adiknya, Mohd. Azuan, 30, kira-kira pukul 5 petang semalam dan hanya ahli keluarga yang berada di rumah itu mengetahui kedua-dua mangsa mengikuti perjalanan itu.

Bagaimanapun katanya, selepas mengetahui tragedi itu, anak dan cucu di Kuala Lumpur begitu terkejut dan sedih dengan berita kematian mereka.

“Sebenarnya emak dan ayah merancang untuk mengikut adik saya, Mohd. Azuan ke Kuala Lumpur ketika adik saya balik mengambil isterinya habis berpantang pada Mac nanti tetapi mereka menukar perancangan itu dan ikut dia semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baru Kolam, Tok Uban, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, pasangan warga emas berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pa­rah selepas kereta jenis Perodua Alza yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah bas eks­pres dua tingkat.

Mohd Azuan yang memandu kereta cedera parah dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Bentong.
Jenazah pasangan suami isteri itu selamat disemadikan kira-kira pukul 3 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bujok, di sini.

Tambah Siti Norhayati, dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 12 tengah malam selepas menerima panggilan daripada anaknya, Amir Asyraf Mazlan, 18.

Utusan 19 Feb 2016


'Mamai' masuk wad

Bentong: “Saya tidak tahu apa yang berlaku dan mengapa saya ditahan di wad ini,” kata Mohd Azuan Mohammad Nur, 30, yang dirawat di Hospital Bentong sejurus selepas kenderaan Perodua Alza dipandunya terbabas merempuh bas ekpres di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub berhampiran Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batalion 25 di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, ibunya, Siti Hawa Razak, 57, maut di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari kereta manakala bapanya, Mohammad Nur Said, 69, meninggal di hospital akibat parah.

Difahamkan, Mohd Azuan sekeluarga dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur ketika nahas berlaku.

Bagaimanapun Mohd Azuan terselamat walaupun ditemui tersepit dan patah kaki kiri.

Ketika ditemui jam 2 pagi semalam, dia belum mengetahui nasib menimpa ibu dan bapanya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohammad Mansor Mohd Noor berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku selepas kenderaan dinaiki tiga beranak itu terbabas memasuki laluan bertentangan dan merempuh bas ekpres.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan dua penumpang kenderaan Alza itu maut manakala seorang lagi parah.

“Pemeriksaan mendapati banyak barangan bayi di dalam kenderaan itu, tetapi siasatan mendapati tiada bayi di dalamnya.

“Hanya tiga mangsa di dalam kenderaan terbabit yang berasal dari Kampung Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan. Pemandu bas ekpres bersama 11 penumpang bagaimanapun tidak cedera,” katanya.

Menurut Mansor, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 19 Februari 2016


Tinggal pesan jaga rumah pusaka

DUA kenderaan yang yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bentong-Raub remuk.

Pasir Mas: Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan malam kelmarin, sempat berpesan kepada anak supaya menjaga rumah pusaka mereka.

Pesanan itu diucapkan Mohammad Nur Said, 69, dan Siti Hawa Razak, 57, beberapa kali kepada anak kelima daripada sembilan beradik, Mohd Romli, 31.

Mohd Romli yang ditemui berkata, kedua ibu bapanya seolah-olah menjangka sesuatu bakal berlaku.

“Ibu bapa saya kerap melawat adik beradik lain di Lembah Klang, namun tidak pernah meninggalkan pesanan begitu sepanjang ketiadaan mereka.

“Tetapi sebelum bertolak ke Klang, Selangor, dengan adik, Mohd Azuan, 30, 2 petang semalam (kelmarin) mereka beberapa kali berpesan supaya tidak membiarkan rumah ini.

“Selalunya kalau mereka ke sana (melawat rumah anak di Lembah Klang), mereka tidak pernah pesan apa-apa. Malah, pergi pun hanya seminggu dan pulang seperti biasa,” katanya di kediaman keluarga di Kampung Kolam Baru, To’ Uban, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, Mohammad Nur dan Siti Hawa meninggal dunia, manakala Mohd Azuan patah tangan kiri selepas Perodua Alza dinaiki bertembung bas.

“Mohd Azuan dirawat di hospital sama dan stabil,” katanya yang memberitahu beberapa adik beradiknya yang menetap di Selangor segera ke Hospital Bentong sejurus kejadian bagi urusan menuntut jenazah.

Jenazah kedua-dua mangsa tiba di kediaman mereka di Pasir Mas pada 9.30 pagi semalam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gabus, di sini, jam 3 petang.

Sementara itu isteri, Mohd Azuan, Norsuziana Mohd Rafei, 28, berkata, dia sempat menghubungi suaminya dan meminta Azuan memandu berhati-hati dan berehat sekiranya penat.

“Dia akur dan meminta saya tidak risau. Selepas itu kami tidak berhubung lagi sehingga kemalangan berlaku,” katanya.

Norsuziana yang berpantang anak kedua berkata, dia terkejut dengan kejadian, namun bersyukur suaminya selamat.

“Kali terakhir saya menemui arwah ibu dan bapa mentua pada Isnin lalu sambil membawa bayi, Muhammad Faqih Muqri yang baru berusia 27 hari,” katanya.

myMetro 19 Februari 2016


‘Mak tak suka jalan jauh’

PASIR MAS - “Arwah mak sebenarnya tak suka berjalan jauh, lebih-lebih lagi apabila perlu meninggalkan rumah lama-lama, kecuali pergi kenduri melibatkan sanak-saudara."

Demikian luahan Siti Rohayu Mohammad Nur, 28, anak ketujuh kepada pasangan warga emas, Mohammad Nur Said, 69 dan Siti Hawa Razak, 57, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Bentong-Raub, Pahang, di sini, malam kelmarin.

Menurut Siti Rohayu, kebiasaan arwah ibunya cukup susah untuk meninggalkan rumah, namun kali ini berbeza apabila arwah bersungguh-sungguh mengajak ayahnya ke Kuala Lumpur.

“Pada mulanya ayah agak keberatan untuk ikut mak, namun selepas dipaksa, akhirnya ayah mengalah. Ayah dan mak ambil keputusan untuk ikut abang (Mohd Azuan) ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Kolam, Tok Uban, di sini, semalam.

Siti Rohayu berkata, abangnya (Mohd Azuan) pulang ke kampung untuk melihat keadaan isterinya yang baru sahaja melahirkan anak kedua.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa ibu bapanya itu kira-kira jam 11 malam kelmarin selepas dihubungi pihak polis.

"Saya sama sekali tidak menyangka perubahan sikap itu merupakan petanda mak akan pergi buat selama-lamanya. Selepas mendapat khabar tersebut, saya dan suami terus bergegas pulang dari Johor ke Tok Uban,” katanya.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pasangan warga emas terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas kereta Perodua Alza yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah bas.

Mohd Azuan yang memandu kereta berkenaan, mengalami cedera parah dan menerima rawatan lanjut di Hospital Bentong.

Sementara itu, anak kelima pasangan terbabit, Mohd Ramli berkata, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, ibu bapanya ada berpesan supaya menjaga rumah dengan baik.

"Mak, ayah dan adik bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 5 petang," katanya.

Sinar Harian 19 Feb 2016






0 comments:

Post a Comment