February 26, 2016

Simpati nasib saudara baru

Keadaan Asrama Darul Iman di Jalan Datuk Muda Linggi, Seremban.

Seremban: “Sebahagian besar golongan mualaf dibuang keluarga selepas memeluk Islam. Saya simpati dengan nasib mereka dan kasihan melihat mereka terkapai-kapai mencari kehidupan baru.

“Melihat keadaan itu, saya menyimpan hasrat untuk menyediakan penginapan buat mereka dan saya tidak sangka niat baik saya itu dimakbulkan Allah,” kata Pengerusi Persatuan Ikatan Ukhuwah Saudara Baru Muhammad Ridzuan Lau Abdullah.

Menurutnya, dia mewujudkan bangunan penginapan dikenali Asrama Darul Iman di Jalan Datuk Muda Linggi di sini, untuk membantu golongan saudara baru.

Katanya, pengalaman sebelum ini sebagai sukarelawan membimbing saudara baru mendalami ajaran Islam di Kompleks Al-Sa’adah, Rahang di sini, menyebabkannya memahami perasaan golongan itu.

“Saya memeluk Islam pada 2001 selepas tertarik dengan keindahan Islam. Sejak itu saya mempelajari Islam dengan lebih mendalam sebelum menjadi sukarelawan membantu golongan mualaf lain.

“Menyedari terdapat kalangan mualaf memerlukan penginapan membuatkan saya mewujudkan Asrama Darul Iman tahun lalu bagi memberi kemudahan kepada mereka selepas dibuang keluarga,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Berkongsi pengalaman, Muhammad Ridzuan berkata, dia memeluk Islam ketika berusia 21 tahun ketika bekerja di hotel di Sungai Sunggala, Port Dickson.

“Saya tertarik dengan Islam sejak 1993 ketika di tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Saujana kerana mempunyai ramai rakan Melayu. Mereka mengajar saya kesucian Islam dengan memberikan buku agama,” katanya.

Katanya, hidayah menjemputnya apabila dia bermimpi bersolat sebelum menyatakan hasrat memeluk Islam kepada rakan sekerjanya.

Meskipun ditentang keluarga selepas mengetahui tindakannya memeluk Islam, namun dia bersyukur kerana lama-kelamaan keluarga menerima dengan baik.

Katanya, asrama yang menempatkan sembilan penghuni iaitu enam mualaf Cina dan dua mualaf India serta seorang bekas gelandangan disewa RM1,400 sebulan dan menanggung kos utiliti serta makan berjumlah hampir RM10,000 sebulan.

“Mereka bekerja tetapi akan menginap di asrama itu. Setiap pagi dan malam, saya mengajar asas Fardhu Ain untuk memantapkan agama Islam mereka. Ia secara langsung membantu saudara baru mendalami agama.

“Saya turut menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk menampung perbelanjaan tetapi jumlahnya tidak mencukupi bagi melengkapkan kemudahan dan membantu mereka,” katanya.

Syarikat atau individu yang mahu membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam atas nama Persatuan Ikatan Ukhuwah Saudara Baru di 05012010081338.

myMetro 26 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment