February 11, 2016

Si cilik tak cukup bulan derita otak berdarah

ABU Bakar (kanan) mendengar luahan Mohamad Nakhaie dan Nor Lidawati yang mempunyai anak derita pendarahan dalam otak.

Bukit Mertajam : Suami isteri yang menetap di Kampung Tok Elong, di sini, hanya mampu menitiskan air mata apabila menyaksikan bayi perempuan mereka yang berusia dua bulan menderita akibat pendarahan dalam otak sejak November lalu.

Mohamad Nakhaie Mohamad, 27, dan isterinya, Nor Lidawati Che Murad, 20, tidak dapat menahan rasa sedih sebaik mengetahui keadaan anak bongsu mereka, Nur Zuhfikha Hanis, menderita penyakit itu.

Nor Lidawati berkata, anaknya yang lahir tidak cukup bulan dikesan mengalami pendarahan di bahagian otak beberapa hari selepas dilahirkan apabila kepala anaknya mula membengkak.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya dan suami membawanya ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) sebelum dirujuk ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan.

“Ketika pemeriksaan, pihak hospital mendapati bahagian otak anak saya mengalami pendarahan dan ketika itu, hanya Allah saja mengetahui keperitan yang terpaksa saya tempuhi,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO Permatang Pauh, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin di rumahnya, di sini, semalam.

Dalam lawatan itu, keluarga terbabit menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur daripada Abu Bakar.

Dia berkata, kini dia perlu membawa bayinya berulang-alik menjalani pemeriksaan dan rawatan bagi melihat perkembangan kesihatan sebelum menentukan sama ada menjalani pembedahan atau sebaliknya.

“Namun, apa yang dirisaukan, suami saya sukar menetapkan masa untuk menghadiri temujanji bersama pihak hospital kerana pekerjaannya sebagai pembantu kedai char kue tiau tidak menentu dan dia perlu bekerja setiap hari bagi menyara keluarga dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.

“Suami sukar meninggalkan pekerjaannya walaupun sehari kerana kos perbelanjaan keluarga begitu tinggi kerana perlu membesarkan tiga anak yang masih kecil, namun pada masa dia runsing memikirkan anak bongsu kami yang memerlukan rawatan segera,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, pihaknya segera tampil menghulurkan bantuan sebaik dimaklumkan mengenai keadaan bayi perempuan itu daripada pihak Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian BukitMertajam.

Katanya, selain berhubung dengan pihak HSJ bagi mengetahui laporan keadaan terkini kesihatan bayi itu, beliau juga bersedia mendapatkan pekerjaan yang sesuai untuk Nakhaie, sekali gus memudahkan dia membawa anaknya itu menjalani rawatan.

“Pekerjaan bapa bayi ini juga didapati kurang sesuai memandangkan tidak memperoleh pendapatan tetap dan faedah lain hingga sukar menyara isteri serta tiga orang anaknya.

“Oleh itu, pihak kami bersedia mencari dan mendapatkan pekerjaan yang sesuai untuk memudahkan bapa bayi ini membawa anaknya ke hospital serta membantu meningkatkan taraf keselesaan keluarganya dengan pendapatan yang lebih stabil,” katanya.

myMetro 10 Feb 2016




0 comments:

Post a Comment