February 19, 2016

Selagi kudrat masih ada

KEADAAN bengkel Abd Rahim yang tersusun rapi bagi memudahkan pergerakannya.

Tangkak: Seorang lelaki kurang upaya membesarkan tiga anak yang masih kecil dengan bekerja sebagai mekanik di bengkel motosikalnya meskipun terpaksa menggunakan kerusi roda.

Abd Rahim Haron, 33, yang mengusahakan sendiri bengkel di Bukit Kangkar, di sini, lumpuh saraf tunjang tulang belakang selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya pada Oktober 2011 menyebabkan dia terlantar di rumah selama setahun.

Menurutnya, dia pernah bekerja sebagai mekanik di sebuah pusat servis kenderaan di Muar dan pengalaman itu digunakan untuk membuka bengkel sendiri demi menyara keluarga.

“Saya tidak dapat menggerakkan bahagian pinggang sehingga ke bawah akibat tulang pinggul pecah kesan kemalangan jalan raya.

“Selepas keluar hospital, saya bekerja dengan rakan saya dengan menjadi pemantau di bengkel, namun saya mula bosan kerana mahu terus menjadi mekanik kereta dan motosikal,” katanya.

Abd Rahim berkata, dia pernah putus asa memandangkan keadaan dirinya dan membuat keputusan untuk menjual peralatan bengkel, namun keluarga dan rakan-rakannya membantah.

“Selepas berpindah ke sini, saya mula berusaha membuka bengkel sendiri di rumah dengan menyimen lantai di sekitar rumah supaya memudahkan pergerakan saya bergerak dengan kerusi roda.

“Bantuan bulanan yang saya terima seperti dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 dan Pertubuhan Keselamatan Sosial pula sebanyak RM400 saya manfaatkan dengan sebaiknya bagi memulakan perniagaan bengkel ini,” katanya.

Menurutnya, sejak dua tahun menjalankan bengkel motosikal, dia bersyukur dengan rezeki yang datang dan rata-rata pelanggan adalah kenalannya selain masyarakat setempat dari daerah Muar dan Tangkak.

“Saya banyak membaiki dan mengecat semula bahagian motosikal yang rosak. Jika ada kerja yang berat, saya mengupah rakan untuk membantu,” katanya.

myMetro 19 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment