February 29, 2016

Satu kaki jiwa besar

RASAN Raili di dukung bapa angkatnya, Rosli Chik untuk ke sekolah. Gambar kanan, Rasan berjalan di kawasan sekolah bersama rakan. 

Pekan: Seperti kanak-kanak biasa, Rasan Raili, 10, gemar bermain dan berlari, tetapi yang membezakannya dengan rakan lain adalah dia hanya menggunakan satu kaki untuk bergerak.

Kanak-kanak daripada suku kaum Jakun itu cacat sebelah kaki sejak kecil selepas sebahagian tulang paha kanan dibuang akibat jangkitan kuman ketika baru berusia seminggu.

Malah, akibat masalah berkenaan kedua belah anggota itu tidak membesar selari menyebabkan kaki kanannya lebih pendek berbanding kaki kiri.

Bapa angkatnya Rosli Chik, 48, berkata Rasan dilahirkan normal, namun kanak-kanak itu mengalami demam panas ketika berusia seminggu dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah, Rompin, untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

“Doktor memaklumkan sebahagian tulang paha kanan Rasan mengalami jangkitan kuman dan terpaksa dibuang,” katanya.

Rosli berkata, walaupun dalam keadaan begitu, anak bongsunya itu tidak pernah merungut, malah dia cekal melakukan aktiviti harian termasuk ke sekolah dan bermain, selain enggan menggunakan kerusi roda atau tongkat.

myMetro 29 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment