February 3, 2016

Sangkut 'bawa' pak belang

BANGKAI harimau belang yang ditemui.

Gopeng: Seorang lelaki ditahan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri selepas cuba membawa keluar bangkai harimau belang, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, lelaki berusia 40-an itu dipercayai mengambil bangkai harimau di Kampung Ulu Kampar, dekat sini, yang dipercayai mati terkena jerat dipasang berhampiran perkampungan masyarakat Orang Asli.

Pengarah PERHILITAN negeri Rozidan Md Yasin berkata, lelaki itu ditahan ketika cuba membawa keluar bangkai haiwan dari lokasi ia ditemui mati menggunakan motosikal.

“Bertindak atas maklumat orang ramai, lima anggota kami bergegas ke lokasi menjalankan siasatan berkaitan kematian harimau belang.

“Siasatan mendapati bangkai itu diambil seorang lelaki dan tindakan pantas kakitangan kami berjaya menyekat dan menahannya ketika membawa bangkai haiwan itu di atas motosikalnya untuk dibawa keluar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 68(2)(c), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 dan penjara maksimum lima tahun.

myMetro 3 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment