February 20, 2016

Sahabatku Merah

AHMAD Khalif bermain dengan Merah sambil ditemani Bakar di Kampung Lembah Masjid Kolam, Kuala Ibai.

Kuala Terengganu: Biasanya kanak-kanak lelaki seawal usia lima tahun lebih berminat bermain mainan karekter adiwira tetapi berbeza dengan seorang kanak-kanak dari Kampung Lembah Masjid Kolam, Kuala Ibai, di sini, yang menjadikan seekor lembu sebagai rakan bermain.

Anak pertama daripada dua beradik tidak meminati permainan lain selain menjadikan lembu baka Limousine seberat 270 kilogram (kg) sebagai teman bermain pada waktu lapang.

Ahmad Khalif Baihaqi Kamal Bakri dikatakan menghabiskan masa setiap hujung minggu dan cuti sekolah di rumah datuknya, Bakar Mamat, 67, semata-mata kerana ingin bermain dengan lembu kesayangannya yang dipanggil Merah itu.

Bakar berkata, cucunya terlalu suka dengan lembu peliharaannya itu sehingga sanggup berada seharian di kandang lembu untuk memberi makanan dan bermain dengan Merah.

“Bukan saja Merah, Khalif sebelum ini memang gemar mendekati lembu sejak berusia satu tahun. Saya sudah melihat kecenderungannya terhadap haiwan ternakan itu kerana dia langsung tidak takut mendekati lembu walaupun masih kecil ketika itu.

“Uniknya Khalif kerana lembu peliharaan saya seolah-olah memahami dan tidak bertindak liar atau bengis dengannya walaupun dia menyakiti lembu itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia beli Merah daripada seorang rakan dari Kelantan kira-kira 18 bulan lalu dan lembu baka Limousine itu memang terkenal dengan tabiat semulajadinya yang garang dan menyerang orang tidak dikenali.

“Istimewanya cucu saya kerana Merah tidak bertindak liar dengannya walaupun pertama kali bertemu, malah Khalif cepat menjinakkan lembu itu sehingga Merah tidak bertindak agresif hingga Khalif mampu naik atas belakangnya.

“Jika melihat kecenderungan dan bakat semula jadi yang dimiliki Khalif, dia memang mempunyai kebolehan sebagai penternak lembu pada masa akan datang ditambah pula dengan minatnya yang luar biasa membuatkannya mempunyai pakej untuk menjadi penternak lembu yang berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Bapa saudara Ahmad Khalif, Mohd Yusof Bakar, 25, berkata, dia bersama bapanya memang sentiasa mengawasi Khalif ketika bermain dengan Merah kerana bimbang dipijak ternakan itu atau diserang.

“Memang Khalif sudah mesra dengan Merah dan haiwan berkenaan juga sudah serasi dengannya tetapi tabiat lembu terutamanya baka itu memang tidak boleh dijangka dan sentiasa berubah-ubah,” katanya.

myMetro 20 Februari 2016




0 comments:

Post a Comment