February 1, 2016

Remaja temui ajal rempuh kereta keluar simpang


Motosikal yang ditunggang mangsa remuk dalam kejadian berkenaan.

SABAK BERNAM - Seorang remaja maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta Suzuki Swift di persimpangan Taman Purnama, Jalan Abu Samah, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Muhammad Asyrul Nizam Mohd Jalaludin, 19, menunggang motosikal Yamaha LC 135 cedera parah dan bertarung nyawa lebih dua jam sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah jalan utama Klang -Teluk Intan dirempuh kereta yang secara tiba-tiba datang dari arah Taman Purnama.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terpelanting ke cermin depan kereta terbabit. Mangsa parah pada kepala dan badan.

“Remaja itu dibawa ke HTAJ Sabak Bernam dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan, mangsa berasal dari Taman Berkat menunggang bersendirian, manakala pemandu wanita dipercayai dalam perjalanan menghantar abangnya yang tinggal di Taman Purnama.

Pemandu kereta berusia 28 tahun yang berasal dari Sungai Panjang itu hanya mengalami bengkak bibir, manakala abangnya tiada kecederaan.

Kes dikendalikan Inspektor Salmah Abu Bakar di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 1 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment