February 26, 2016

Remaja maut tunggang motosikal lawan arus


Motosikal terlibat dalam kemalangan itu. Gambar kecil: Pooarasan

SUNGAI PETANI - Akibat menunggang motosikal melawan arus dan melintas jalan secara tiba-tiba, remaja berusia 18 tahun maut dilanggar sebuah motosikal berkuasa tinggi di sini, petang tadi.

Kejadian itu berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bijaya Setia di Kilometer 2.5  Jalan Sungai Petani- Kuala Ketil, kira-kira jam 2.23 petang.

Ketika kejadian,  mangsa, S Pooarasan menunggang motosikal bersama rakannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, motosikal yang ditunggangi mangsa berlanggar dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang ditunggung oleh lelaki berusia 29 tahun dari arah Kampung Raja menghala ke Jalan Kuala Ketil.

"Akibat daripada kemalangan itu, Pooarasan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya  serta penunggang motorsikal berkuasa tinggi itu mengalami kecederaan parah.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal polis juga mendapati kedua-dua penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu,"katanya.

Sementara itu, kakak ipar Pooarasan, D Kavitha, 23, berkata, semasa kemalangan mangsa menunggang motosikal milik suaminya bersama rakannya untuk ke Sungai Petani.

Sinar Harian 25 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment