February 8, 2016

Putus kaki tersepit eskalator

Anggota bomba mencari sebahagian pergelangan kaki yang putus, keadaan kaki mangsa dan sebahagian pergelangan kaki yang putus. FOTO ihsan bomba

Kuala Lumpur: Budak lelaki berusia empat tahun putus sebahagian pergelangan kaki kiri akibat tersepit eskalator KL Sentral, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang turun dari tingkat satu menggunakan eskalator berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengurusan bangunan untuk mencari bahagian kaki yang terputus pada 5.43 petang.

"Kaki kanak kanak terbabit tersepit antara panel besi dan tangga. Dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)selepas dikeluarkan dari eskalator.

"Kami menerima panggilan meminta membantu mencari sebahagian pergelangan kaki yang putus sebelum ditemui pada 6.30 petang dan diserahkan kepada HKL," katanya.

myMetro 8 Feb 2016


Kanak-kanak putus separuh tapak kaki selepas tersepit eskalator


KUALA LUMPUR - Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki bersiar-siar bersama keluarganya bertukar detik cemas apabila separuh tapak kaki kiri kanak-kanak itu terputus selepas tersepit pada tangga eskalator dalam satu kejadian di KL Sentral di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa berusia empat tahun itu bersama keluarganya dikatakan sedang turun ke aras bawah menuju ke Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter sebelum insiden terbabit berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, ahli keluarga mangsa serta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak tersebut, bagaimanapun, separuh daripada tapak kaki kirinya telah terputus dan tersepit pada tangga eskalator tersebut.

Katanya, kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur oleh pihak ambulans untuk menerima rawatan lanjut. - K! ONLINE

8 Feb 2016


Semoga adik Mikhail kuat 

Kuala Lumpur: Bapa kepada budak lelaki berusia empat tahun yang putus sebahagian kaki kiri akibat tersepit eskalator di KL Sentral, semalam akan berusaha sebaik mungkin supaya anaknya itu pulih dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Nasaruddin Mohd Idris,40, berkata, anak tunggalnya, Dzil Mikhail, kini semakin okay selepas dibedah.

Menceritakan kembali kejadian berkenaan, dia pada mulanya membawa anaknya itu bersiar-siar menaiki komuter sebelum kaki anaknya tersepit eskalator.

"Sempena cuti semalam saya bawa Mikhail berjalan-jalan tambahan pula dia memang suka menaiki 'train' (kereta api).

"Dia (Mikhail) sangat teruja, tetapi tak sangka malang menimpa anak tunggal lelaki saya ini," katanya ketika ditemui Hospital Kuala Lumpur (HKL), petang tadi.

Katanya, ketika kejadian pada 3 petang itu, dia, isteri bersama anaknya sedang menuruni eskalator.

"Kejadian berlaku pantas, hanya beberapa saat menyebabkan saya dan isteri terkejut melihat kaki anak tersepit sebelum cuba untuk mengeluarkan kakinya.

"Dalam keadaan panik itu, dua anggota polis bantuan tiba dan orang ramai turut membantu sebelum kaki Mikhail dapat dikeluarkan," katanya.

Bagaimananapun, Nasaruddin berkata, sebahagian kaki kiri anaknya terputus dan dia segera membawa anaknya itu ke HKL.

Katanya, Mikhail dibedah di bahagian kaki kirinya yang terputus selama dua jam.

"Bahagian yang terputus tidak boleh disambung. Kemungkinan akan ada pembedahan kedua bagi memulihkan kakinya itu.

“Doktor akan membuat penstrukturan semula di bahagian kaki yang terputus bagi membolehkan Mikhail berjalan dengan seimbang," katanya.

Nasaruddin berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kejadian termasuklah kemungkinan ada masalah teknikal pada eskalator berkenaan.

Katanya, dia juga membuat laporan polis di Balai Polis Travers untuk tindakan lanjut.

Semalam, bomba menerima panggilan melaporkan kaki budak lelaki berusia empat tahun tersepit di eskalator.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengurusan bangunan untuk mencari bahagian kaki yang terputus pada 5.43 petang.

myMetro 9 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment