February 20, 2016

Ponteng sekolah jaga ibu koma

Idham (tengah) dan adiknya terpaksa berkorban demi menjaga ibu mereka yang koma.

PASIR MAS - “Walaupun ke sekolah hanya tiga hari seminggu, tapi saya tetap fokus bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini."

Demikian tegas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Pasir Mas, Mohammad Idham Mohd Nor, 17, yang terpaksa ponteng sekolah semata-mata mahu menjaga ibunya, Zabedah Hashim, 54, yang koma sejak sembilan bulan lalu.

Idham berkata, biarpun terpaksa berkorban, namun keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk memberi tumpuan pada pelajaran.

Menurutnya, dia memanfaatkan masa terluang selepas menguruskan ibu yang terlantar dengan mengulang kaji pelajaran, malah peluang ke sekolah turut dimanfaatkan sebaik mungkin agar dia tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Alhamdulillah, saya masih boleh beri tumpuan sepenuhnya pada pelajaran. Saya telah berjanji dengan diri sendiri untuk memberikan yang terbaik dalam pelajaran kerana mahu mengubah nasib keluarga.

“Buat masa ini, saya dan bapa saudara terpaksa bergilir menjaga ibu. Bila bapa saudara cuti, saya akan ke sekolah. Jika bapa saudara bekerja, saya tidak akan ke sekolah kerana perlu jaga ibu. Cuma adik yang sedang belajar di SK Dato Hamid II sahaja ke sekolah setiap hari,” katanya, semalam.

Terdahulu, Idham menerima sumbangan daripada Badan Kebajikan Ummah 1 Malaysia disampaikan penyelaras negeri, Leftenan Kolonel (B) Wan Suhari Wan Daud dan pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Abdul Hamid II.

Turut hadir, Guru Besar SK Dato Hamid II, Abdul Manan Omar.

Sementara itu, Wan Suhairi berkata, sumbangan itu diberikan untuk membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung Idham.

“Ini merupakan salah satu khidmat sosial kami bagi membantu golongan memerlukan. Saya harap lebih banyak pihak tampil membantu Idham dan ibunya kerana difahamkan, ibu Idham memerlukan perbelanjaan hampir RM1,000 sebulan merangkumi susu dan lampin pakai buang," katanya.

Sementara itu, Abdul Manan berkata, pihak sekolah sentiasa peka dengan nasib yang menimpa murid.

“Hari ini (semalam) pihak sekolah turut tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan ditanggung Idham dan adiknya yang merupakan murid tahun enam SK Dato Hamid II,” katanya.

Sinar Harian 20 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment