February 25, 2016

Polis cedera kereta dirempuh

ANGGOTA polis menunjukkan lampu kereta yang pecah.

Segamat: Seorang pemandu Toyota Vios bertindak menghimpit kereta peronda polis (MPV) hingga mengakibatkan seorang anggotanya mengalami kecederaan ringan di sebuah parkir di Labis, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, dalam kejadian jam 3 pagi, dua anggota polis berkenaan melakukan rondaan sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

“Dua anggota MPV berusia 28 dan 29 tahun dari Balai Polis Labis melakukan rutin rondaan di beberapa premis bangunan jabatan awam di sekitar bandar Labis.

“Mereka kemudian terlihat sebuah kereta jenis Toyota Vios warna gelap di parkir dengan enjinnya masih hidup,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini, semalam.

Menurutnya, anggota polis terbabit kemudian memasang lampu dan siren selain menggunakan alat pembesar suara meminta pemilik kenderaan itu keluar.

“Kenderaan itu bagaimanapun memecut ke arah anggota polis berusia 28 tahun yang sedang berjalan menghala ke arahnya.

“Anggota polis terbabit sempat mengelaknya namun terjatuh dan kenderaan itu juga nyaris melanggar sebuah tiang lampu berhampiran sebelum merempuh bahagian sisi belakang kereta peronda mengakibatkan ia kemek,” katanya.

Beliau berkata, suspek memecut laju kenderaannya dan melarikan diri ke arah bandar Segamat.

Katanya, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan di sekitar bandar Labis pada jam 10.30 malam, kelmarin.

“Suspek juga ditahan reman selama empat hari untuk siasatan kes di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugasan penjawat awam selain cubaan mendatangkan kecederaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah pada 2012.

myMetro 25 Februari 2016






0 comments:

Post a Comment