February 26, 2016

Pesawat CN235 TUDM terbakar, lakukan pendaratan kecemasan

Pesawat CN235 TUDM dilaporkan terhempas Gambar viral keadaan pesawat CN235 milik TUDM yang dilaporkan terhempas pagi tadi.

KUALA LUMPUR - Sebuah Pesawat pengangkut CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan  di Pangkalan Udara Subang membuat pendaratan kecemasan berhampiran pantai Kuala Selangor jam 8.50 pagi tadi.

Pesawat yang membawa lapan orang anak kapal dilaporkan selamat selepas dibantu nelayan tempatan yang berada di kawasan berkenaan.

Dalam satu kenyataan TUDM berkata, mereka akan menubuhkan satu pasukan penyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian.

"TUDM juga akan berusaha untuk membuat recovery pesawat tersebut," kata kenyataan itu.

Sinar Harian 26 Feb 2016


Selut merumitkan operasi

ANGGOTA Penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut ketika bertugas di lokasi pesawat pengangkut TUDM CN235 dekat Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor. FOTO Sairien Nafis

Kuala Selangor: Fokus utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini adalah untuk membawa keluar pesawat CN235 dari tapak nahas bagi mengetahui punca sebenar insiden.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien, berkata perkara itu perlu diserahkan kepada jawatankuasa khas yang dibentuk bagi menyiasat kejadian terbabit.

"Jangan membuat sebarang spekulasi sehingga laporan lengkap mengenai insiden itu selesai," katanya selepas melawat keluarga Allahyarham Abu Hassan Abdul Latif, di Kampung Assam Jawa, di sini, hari ini.

Abu Hassan, 57, yang sedang mencari siput di kawasan nahas dilaporkan meninggal dunia selepas terperangkap di lumpur paya apabila cuba menyelamatkan anak kapal berkenaan.

Pesawat yang membawa lapan pegawai dan anggota TUDM itu melakukan pendaratan kecemasan di pesisir pantai Kuala Selangor, pagi semalam.

Sementara itu, Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Affendi Buang, berkata pihaknya kini sedang menentukan aspek logistik yang terbaik bagi membawa keluar pesawat terbabit.

"Kita akan lihat sama ada ia perlu dilakukan menerusi laut, darat atau udara. Ia adalah situasi yang rumit kerana terdapat air dan tanah, jadi kita perlu menilai sebaik mungkin kaedah mana lebih sesuai," katanya.

Affendi berkata, pesawat terbabit mempunyai sejarah dari segi teknikal dan penyelenggaraan yang baik.

myMetro 27 Februari 2016



Pesawat terbakar, 8 askar selamat

KUALA SELANGOR – Lapan kru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selamat walaupun pesawat CN-235 yang dinaiki terpaksa melakukan pendaratan cemas sebelum terbakar dalam lumpur di pesisir pantai di Kampung Assam Jawa di sini semalam.

Semasa kejadian pukul 8.37 pagi, pesawat itu yang sedang melakukan raptai lintas hormat baru tujuh minit berlepas dari Pangkalan Udara Subang dengan membawa dua juruterbang, dua pembantu juruterbang dan empat kru pesawat.

Dua juruterbang berkenaan ialah Mejar Muhamed Agizan Jaafar dan Mejar Ahmad Syazwan Mohamed manakala dua pembantu juruterbang ialah Meor Ahmad Wahab dan Kapten Mohd. Nurul Azmie Rofdi.

Empat kru pula ialah Mejar Mohd. Azri Yacob, Pegawai Waran II Muhd. Shyfull Neezam Abdul Manan, Sarjan Udara David Tonge dan Sarjan Suhaila Pathil.

Kapten Mohd. Nurul Azmie mengalami patah tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kuala Se­langor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, tujuh kru pesawat termasuk seorang anggota wanita tidak cedera dan hanya seorang daripada mereka mengalami kecederaan patah tangan kiri.

“Kami difahamkan pesawat tersebut mendarat cemas di pesisir pantai berdekatan kawasan hutan bakau selepas ia mengalami kerosakan pada enjin.

“Semua mangsa dapat keluar dari pesawat dengan dibantu para nelayan sebelum berlaku kebakaran kecil pada pesawat yang kemudian padam sendiri,” kata beliau pada sidang akhbar di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di sini semalam.

Menurut beliau, kesemua mang­sa yang selamat itu dibawa oleh nelayan tempatan ke Jeti Nelayan Pasir Penambang sebelum mereka dihantar ke Hospital Tanjung Karang.

Kata Ruslan, semasa kejadian pesawat terbabit dalam penerbangan melakukan raptai lintas hormat bermula dari Pangkalan Subang pada pukul 8.30 pagi sebelum ia dikesan mengalami masalah pada enjinnya.

Kosmo 27 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment