February 19, 2016

Penternak diserang, 53 ekor lembu dilari penyamun

TANGKAK 17 Feb. – Rutin harian seorang pemuda menjaga pusat ternakan lembu diusahakan keluarganya pada setiap malam bertukar menjadi mimpi ngeri apabila disamun sekumpulan lelaki bertopeng yang turut melarikan 53 lembu peliharaan di Jalan Paya Mas, Kampung Simpang Bekoh di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi, mangsa, Mohd. Amadi Ali, 23, berkata, dia yang keseorangan ketika itu berdepan detik mencemaskan apabila diikat menggunakan wayar dan mukanya ditutup selimut selain dipukul menggunakan sebatang kayu.

Menurutnya, dia baru mahu melelapkan mata di sebuah pondok yang terletak dalam pusat ternakan itu sebelum tiba-tiba disergah sekumpulan lelaki yang berbadan sasa dan memakai topeng.

“Mereka menggertak saya supaya tidak berbuat apa-apa dan tidak meronta ketika kedua-dua kaki dan tangan diikat de­ngan wayar dalam kedudukan meniarap di dalam pondok terbabit.

“Ketika berada dalam keadaan takut dan tidak tahu mahu buat apa, saya terdengar perbualan mereka dipercayai seramai lapan orang yang sedang membawa masuk lembu dari kandang ke dalam sekurang-kurangnya dua buah lori ma­sing-masing milik kami dan penyamun itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Mohd. Amadi, mereka kerugian kira-kira RM200,000 selepas 53 ekor daripada 80 lembu jantan dewasa yang sepatutnya dijual kepada pelanggan pada Hari Raya Aidiladha kelak, dicuri sekumpulan lelaki itu.

“Selain lembu dan sebuah lori tiga tan, mereka turut melarikan sebuah motosikal jenis Kawasaki RR, beg duit dan te­lefon bimbit saya, tetapi bersyukur kerana tidak diapa-apakan kecuali dipukul de­ngan kayu ketika mereka bertanya tentang kunci lori tersebut,” katanya.

Ujar Mohd. Amadi, selepas beberapa jam kemudian, dia cuba meregangkan ikatan pada kaki dan tangannya selepas yakin semua pencuri itu sudah beredar sebelum terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini untuk membuat laporan kira-kira pukul 5.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak yang mengesahkan kejadian terbabit memberitahu, enam hingga lapan penjenayah dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian disyaki dilakukan sekumpulan lelaki tempatan berdasarkan laporan dibuat mang­sa dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau membeli da­ging lembu dengan harga murah supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan.

Utusan 18 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment