February 3, 2016

Penjara kerana curi sardin

Kuala Lumpur: “Saya menumpang di rumah pak cik berusia 70 tahun. Saya curi enam tin sardin untuk cucu-cucu pak cik yang masih kecil.

"Saya juga perlu menanggung ibu bapa," kata penganggur Chng Kim Fatt, 45, ketika merayu bagi mengurangkan hukuman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Chng dihukum penjara tujuh hari dan denda RM100 oleh mahkamah kerana mencuri sardin berkenaan.

Majistret Saifulakmal Said berkata: "Mahkamah menjatuhkan hukuman ini berdasarkan kesalahan lampau dan ini bukan kesalahan jenayah pertama kamu".

Tertuduh mempunyai 11 rekod kesalahan lampau termasuk mencuri kenderaan, dadah dan mendatangkan kecederaan.

Mahkamah memerintahkan Chng dipenjara seminggu jika gagal membayar denda.

Chng didakwa mencuri enam tin sardin yang semuanya bernilai RM33.30 di Kedai 99 Speed Mart Sdn Bhd, Jalan Jinjang Utama, Sentul, jam 8 malam, 30 Januari lalu.

Dia turut dipenjara tujuh hari kerana gagal menunjukkan kad pengenalan diri atau sebarang dokumen pengenalan sementara di lokasi dan tarikh sama.

Chng didakwa mengikut Peraturan 7(1) dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani kedua-dua hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu 30 Januari.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mengendali pendakwaan.
BERNAMA

myMetro 2 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment