February 25, 2016

Pencuri jatuh dari siling

Yan: Remaja lelaki yang pecah masuk rumah di Kampung Bahagia, di sini, pada 1 tengah hari tadi ditahan orang ramai sebelum diserah kepada polis selepas jatuh dari siling rumah itu.

Ketika kejadian itu pemilik kediaman Mardhiah Mohd Salleh, 39, tiada di rumah kerana keluar bekerja sebelum jiran mangsa yang mengesyaki sesuatu menghubunginya.

Mardhiah berkata, dia menerima panggilan daripada jiran memaklumkan melihat kelibat seseorang memasuki pekarangan rumahnya dan memintanya untuk segera pulang.

Katanya, dalam keadaan panik dia bergegas pulang bersama tiga lagi rakan sekerjanya.

"Sebaik sahaja tiba di rumah, saya lihat orang ramai sudah mengerumuni pekarangan rumah, namun mereka melarang saya masuk kerana bimbang pencuri itu bersenjata.

"Polis dan orang ramai yang ada ketika itu cuba mencari pencuri itu di dalam rumah namun tiada sehingga hampir satu jam sebelum dia jatuh dari siling luar rumah saya dan berjaya diberkas," katanya.

Suspek yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Yan untuk tindakan selanjutnya.

myMetro 25 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment