February 28, 2016

Pencari siput mati dalam lumpur

Pasukan penyelamat terpaksa mengharungi kawasan berlumpur di pesisir pantai Kampung Assam Jawa di Kuala Selangor untuk tiba di lokasi pesawat CN-235 yang melakukan pendaratan cemas. Gambar kecil, Abu Hassan.

KUALA SELANGOR – Seorang pencari siput mati selepas terperangkap dalam lumpur di pesisir pantai di Kampung Assam Jawa di sini selepas lelaki itu dipercayai mahu menyelamatkan kru pesawat CN-235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat pendaratan cemas.

Abu Hassan Abdul Latif, 57, disahkan meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Tanjong Karang.

Lelaki yang merupakan penduduk di situ ditemui sudah tidak sedarkan diri dalam lumpur ketika air di kawasan paya di pesisir pantai itu surut.

Jarak lokasi lelaki itu ditemui dengan tempat pesawat mendarat cemas ialah kira-kira 100 meter.

Adik Abu Hassan, Jamaliah, 24, berkata, dia yang menerima panggilan telefon kira-kira pukul 11 pagi telah pergi ke Hospital Tanjung Karang untuk melakukan pengecaman abangnya.

Kosmo 27 Feb 2016


Mulianya hatimu 

Kuala Selangor: "Abang memang orang yang suka menolong orang, dia sebenarnya memang sudah biasa dengan kawasan ini."

Itu kata Jamaliah Abdul Latif, 24, adik kepada pencari siput, Abu Hassan Abdul Latif, 57, yang maut ketika cuba membantu mangsa nahas pesawat pengangkutan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) CN235 yang mendarat cemas di persisiran pantai di sini, pagi tadi.

Jamaliah berkata, dia mendapat berita kematian abangnya daripada pihak polis dan diminta untuk membuat pengecaman mayat.

"Saya terima panggilan kira-kira 11 pagi untuk pengecaman dan kami ke Hospital Tanjung Karang.

"Memang benar itu abang saya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian bersama ahli keluarga yang lain untuk mencari telefon bimbit abangnya.

Dia berkata, rakan yang mengenali abangnya juga ada menghantar gambar kepadanya menerusi Aplikasi Whatsapp.

Allahyarham yang masih bujang keluar pada waktu pagi untuk mencari siput sebelum pesawat berkenaan mendarat cemas pada 8.40 pagi.

Anak sulung daripada enam adik-beradik itu dipercayai meninggal dunia apabila lemas tersangkut di dalam lumpur di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian itu, lapan anggota TUDM dilaporkan selamat dan hanya seorang mengalami kecederaan patah tangan kiri.

Operasi membawa keluar rangka pesawat sedang dilakukan dan dijangka mengambil masa sehingga tiga hari.

Pesawat itu menjalani latihan sebelum terpaksa mendarat cemas di kawasan laut kerana masalah di bahagian enjin.

myMetro 26 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment