February 22, 2016

Penagih lemas

PASUKAN penyelamat mengangkat mayat mangsa lemas di Kampung Alor Senibong, semalam.

Yan: Gara-gara mahu mengelak ditahan polis, penagih dadah berusia 40 tahun menemui ajal apabila lemas selepas terjatuh ke sungai di Kampung Alor Senibong, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 8 pagi dan mayat mangsa yang berasal dari Chuping, Perlis ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jarak 15 meter dari lokasi mangsa terjatuh pada jam 4.37 petang.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila sepasukan anggota polis melakukan serbuan di sarang penagih dadah 100 meter dari lokasi kejadian sebelum mangsa melarikan diri.

Pada masa sama, seorang anggota polis yang cuba menyelamatkan mangsa hampir lemas sebelum diselamatkan anggota lain yang berada di tempat kejadian lalu dihantar ke Hospital Yan untuk menerima rawatan.

Penduduk kampung yang juga saksi, Siti Aminah Mat, 55, berkata, ketika kejadian dia baru saja keluar untuk ke rumah bapanya yang terletak 30 meter.

Dia terdengar orang menjerit seperti bergaduh dari seberang sungai lalu bergegas mengambil motosikalnya dan menunggang ke lokasi kejadian sebelum melihat dua lelaki terkapai-kapai di permukaan sungai.

Katanya, pada mulanya dia menyangka dua lelaki berkenaan penagih dadah dan tidak berani berbuat apa-apa melainkan menghubungi polis sebelum dimaklumkan dua lelaki terbabit anggota polis.

“Saya sangka mereka penagih dadah memandangkan kawasan berkenaan terletak berdekatan sarang penagihan, namun terkejut apabila dimaklumkan dua lelaki berkenaan anggota polis manakala penagih dadah terbabit hilang di permukaan sungai,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kedah Penguasa Kanan Bomba Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.38 pagi dan 17 anggota bomba termasuk anggota PPDA dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Yan diketuai Staf Muda JPAM, Zakiah Md Akhir.

myMetro 22 Februari 2016





0 comments:

Post a Comment