February 22, 2016

Pemuda maut digilis kereta


Keadaan motosikal mangsa yang digilis dan diseret sebuah kereta dipandu lelaki warga asing.

SEPANG - Seorang pemuda maut selepas digilis dan diseret sebuah kereta yang dipandu lelaki warga asing di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) di KM 33.3 arah Putrajaya, di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, mangsa dikenali Muhamad Alif Kumaila, 21, beralamat di Batu Pahat, Johor mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam, Asisten Superintendan Amir Che Ya berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai menunggang motosikal menghala ke Port Dickson.

“Dalam masa sama, sebuah kereta Proton Saga FLX dari arah Puchong menghala Cyberjaya merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.

“Kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa dan motosikalnya terbalik lalu diseret kenderaan itu sejauh kira-kira 25 meter,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa bersama motosikalnya ditemui berada di bawah kenderaan tersebut.

“Hasil semakan mendapati pemandu kenderaan itu adalah seorang warga asing dari Nigeria yang beralamat di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

“Dia ditahan bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.

Beliau berkata, polis turut mendapatkan keterangan daripada seorang saksi yang juga rakan mangsa bagi membantu siasatan.

 Sinar Harian 22 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment