February 3, 2016

Pembonceng motosikal maut


Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal dibonceng berlanggar pacuan empat roda.

KAMPUNG RAJA – Seorang pembonceng motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan empat Kampung Gelam Mas dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 12 tengah hari itu, Muhammad Alif Adam Rozimi, 21, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, mangsa yang merupakan anak kepada anggota polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu membonceng motosikal yang ditunggang rakannya Muhammad Faiq Mazlan, 21.

Menurutnya, bagaimanapun rakan mangsa tidak cedera  dalam kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha LC yang dinaiki mangsa, sebuah kenderaan pacuan roda jenis Toyota Hilux dan sebuah sebuah lori ais.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Hilux dari arah Kampung Keluang ke Kampung Raja hendak masuk ke kanan jalan untuk ke arah Demong.

“Dikatakan kenderaan tersebut berhenti di simpang tersebut untuk masuk dan tiba-tiba motosikal dinaiki mangsa yang datang dari arah Kampung Raja ke arah Keluang telah merempuh hadapan Hilux tersebut,” katanya.

Khaled berkata, pelanggaran itu menyebabkan pembonceng motosikal melambung dan terkena pada rim sebelah kanan sebuah lori membawa muatan ais dari arah Demong yang sedang berhenti untuk ke arah Kampung Keluang.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa beralamat di Kampung Lapan Kejor, Pasir Akar, Hulu Besut, cedera parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian sebelum  dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat sementara rakannya yang tinggal di Taman D’Fakir Kampung Gelam Mas, tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian difahamkan lokasi kejadian sering berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut dan banyak pihak meminta pihak berkuasa ambil langkah bina bulatan di situ untuk elak kejadian sama berulang.

Sinar Harian 2 Februari 2016 

0 comments:

Post a Comment