February 21, 2016

Pemandu tidur maut dirempuh kren gelongsor

KEADAAN lori yang dirempuh kren, semalam.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori berusia 38 tahun maut selepas kenderaannya dirempuh kren yang menggelongsor menuruni bukit di tapak projek pembinaan berdekatan Mahkamah Tinggi di Jalan Khidmat Usaha, Taman Duta, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, pemandu lori berkenaan yang tidur di dalam kenderaannya maut akibat parah selepas tertusuk besi kren di bahagian dada.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, siasatan mendapati kren dipandu lelaki berusia 63 tahun yang menghentikan kenderaannya di atas bukit untuk turun melihat tapak projek.

“Difahamkan pemandu kren terbabit menarik brek tangan sebelum turun ke tapak projek.

“Bagaimanapun, kren terbabit menggelongsor ke bawah bukit sejauh 70 meter sebelum merempuh hadapan lori diparkir di tepi laluan berkenaan.

“Rempuhan terbabit menyebabkan pemandu lori yang tidur tertusuk besi kren sepanjang 2.5 meter di bahagian dada dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Markandan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

myMetro 21 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment