February 8, 2016

Pemandu rentung tersepit dalam Camry

Keadaan Toyota Camry yang terbakar selepas terbabas merempuh pokok di Kota Tinggi, pagi tadi, - Foto Ahmad Othman.

Kota Tinggi: Seorang lelaki mati rentung selepas tersepit dalam kereta dipandunya yang terbakar selepas merempuh pokok di Jalan Pintasan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, jam 4.45 pagi tadi.

Ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Mohd Azmi Ismail, 34, dikatakan memandu bersendirian kereta Toyota Camry menghala ke Johor Bahru.

Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya menyebabkan kereta itu terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar pokok lalu terbakar.

Jurucakap bomba berkata, kejadian disedari pengguna jalan raya lain yang kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi pada jam 4.51 pagi dan satu jentera bersama tujuh anggota yang tiba pada jam 5.04 pagi, mendapati api masih marak.

"Sebaik api berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian, anggota bomba menemui mayat mangsa di tempat duduk pemandu dalam keadaan rentung," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasatan dan menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 7 Februari 2016


Kontraktor TNB rentung dalam Toyota Camry

KOTA TINGGI – Seorang kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditemui mati rentung apabila kereta Toyota Camry yang dipandunya terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di Jalan Bypass Johor Bahru - Mersing di sini awal pagi kelmarin.

Dalam kemalangan pukul 5.22 pagi itu, Mohd. Azmi Ismail, 34, rentung di tempat kejadian selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok lalu terbakar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa dipercayai memandu berseorangan ketika pulang dari Mersing ke Johor Bahru dalam keadaan hujan lebat.

“Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di tempat kejadian lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok pada laluan bertentangan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta dinaiki mangsa terseret kira-kira satu meter dari pokok ber­kenaan sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo 9 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment