February 28, 2016

Pelajar Tingkatan 5 lemas di kolam renang sekolah

SEREMBAN - Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini meninggal dunia dipercayai lemas di dalam kolam renang di sekolah berkenaan petang tadi.

Mangsa Muhammad Daniel Abdul Razak,17, dilihat tidak sedarkan diri oleh guru sekolahnya kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhammad Zaki Harun berkata, sebelum kejadian mangsa bersama 11 lagi pelajar lain sedang mandi di dalam kolam renang sekolah terbabit.

"Seorang guru lelaki berusia 44 tahun yang sedang membuat persiapan hari sukan telah mengarahkan kesemua pelajar keluar dari kolam kerana mereka tidak boleh mandi di situ tanpa pemantauan guru.

"Setelah pelajar naik ke atas didapati mangsa masih berada di dalam kolam dan guru itu mengesyaki dia tidak sedarkan diri," katanya.

Kata Muhammad Zaki, mangsa bagaimanapun masih tidak sedarkan diri walaupun telah diberi bantuan pernafasan berkali-kali sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

"Bedah siasat akan dijalankan dan siasatan lanjut diteruskan,"katanya.

Sinar Harian 26 Februari 2016


Waris lemas tak puas hati

SEREMBAN – Keluarga kepada pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini, yang meninggal dunia akibat lemas di dalam kolam renang sekolah itu Jumaat lalu, tidak berpuas hati dengan laporan menyatakan mangsa mandi tanpa pengetahuan pihak sekolah.

Bapa saudara mangsa, Abdul Rahim Udin, 34, berkata, kenyataan itu mengundang persepsi negatif kepada Allahyarham seolah-olah tidak disiplin.

“Kami kecewa kerana sehingga kini kami masih belum menerima laporan sebenar daripada sekolah mengenai kejadian yang berlaku melainkan hanya ucapan takziah.

“Saya diberitahu pelajar lain yang mereka diberi kebenaran untuk mandi di situ dan bukannya tanpa kebenaran seperti dilaporkan,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian, semalam.

Pada kejadian kira- kira jam 3 petang, Jumaat lalu, mangsa, Muhammad Daniel Abdul Razak, 17, meninggal dunia dipercayai lemas dalam kolam renang sekolah itu.

Difahamkan, mangsa mandi di kolam itu bersama beberapa pelajar sebelum lemas.

Mereka dikatakan mandi di kolam itu tanpa pengetahuan guru sebelum dilihat seorang guru yang membuat persiapan hari sukan lalu mengarahkan mereka meninggalkan kolam, kira-kira 3 petang.

Abdul Rahim berkata,  dia kecewa apabila pihak sekolah seolah-olah mahu lepas tangan.

"Kami sedih apabila ada sesetengah pihak beranggapan kematian Allahyarham disebabkan tindakannya mandi di situ tanpa kebenaran.

“Allahyarham seorang pelajar yang baik dan saya percaya pada hari kejadian dia bukannya melakukan perkara yang salah,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan lanjut mengenai kejadian masih dijalankan dengan mengambil keterangan pelbagai pihak.

“Kenyataan mengatakan mangsa mandi tanpa kebenaran adalah laporan yang dibuat pihak sekolah, namun siasatan masih diteruskan,” katanya.

Sinar Harian 1 Mac 2016


Bukan ceroboh tapi bantu guru 

“Dia (arwah) bukan menceroboh,” kata Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V Datuk Mohd Md Isa.

Beliau memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap pelajar tingkatan lima, Muhammad Daniel Abdul Razak, 17, yang ditemui lemas dalam kolam renang sekolah berkenaan ketika mandi bersama 12 rakannya dalam kejadian jam 3 petang, 26 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, guru sekolah dan rakan yang menemui mangsa tidak sedarkan diri sebelum membantu mengangkatnya dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia.

Mohd berkata, pihaknya terpaksa tampil memberi penjelasan mengenai kejadian menimpa arwah, bagi memperbetulkan persepsi netizen di laman sosial dan masyarakat sekeliling.

“Pihak sekolah, keluarga dan semua rakan mangsa terkejut serta sedih dengan tanggapan sedemikian kerana kami tahu sikap sebenar arwah seorang yang baik, menghormati guru dan suka membantu.

“Muhammad Daniel dan 12 rakannya berada di situ (kawasan kolam renang) kerana membantu guru membuat persiapan hari sukan yang dijadualkan berlangsung keesokan hari,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya sudah memberi penjelasan kepada keluarga mengenai kejadian itu dan mereka meminta sekolah membantu membersihkan nama baik Muhammad Daniel.

“Keluarga bertanya kepada saya, betul ke anaknya jahat, betul ke dia menceroboh. Saya menjelaskan dia bukan menceroboh dan di media juga tidak tulis begitu tetapi masyarakat membuat andaian lain.

“Kehilangan arwah amat menyentuh jiwa semua. Pihak sekolah terkesan dengan kehilangannya dan turut menyampaikan sumbangan serta mengadakan majlis bacaan Yasin,” katanya.

myMetro 12 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment