February 26, 2016

Pelajar tahun akhir Kolej Vokasional maut kemalangan


ROMPIN – Seorang pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Kimpalan di Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah (KVSAS) Rompin maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan lain di Kilometer (KM) 150 Jalan Kuantan – Johor Bahru sekitar jam 5 petang, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Badrul Abd Rashid, 19, difahamkan dalam perjalanan pulang dari KVSAS ke rumahnya di Kampung Tanjung Pahang, di sini selepas tamat sesi pembelajaran.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitenden Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave S telah melanggar bahagian belakang sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berhampiran Kampung Janglau apabila Toyota Fortuner dari arah Rompin dipercayai membuat pusingan U menyebabkan penunggang motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak telah merempuh sebelah kanan pacuan empat roda itu.

“Motosikal berkenaan telah terperosok di bawah pacuan empat roda itu di jalan sebelah kanan menghala ke Rompin manakala penunggangnya tercampak berhampiran dan disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati pemandu dipercayai memakai tali pinggang keledar dan mempunyai lesen memandu manakala penunggang motosikal memakai topi keledar serta mempunyai lesen memandu L namun telah tamat tempoh.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pengarah KVSAS, Mohd Azman Mohd Akhir yang dihubungi mengesahkan bahawa mangsa merupakan pelajar tahun 4 dan pihaknya menzahirkan simpati serta takziah kepada keluarganya.

“Saya bersama pensyarah lain dan rakan-rakan mangsa telah ke rumahnya malam tadi untuk membaca Yasin serta tahlil di sana. Saya juga mengambil kesempatan menasihati pelajar-pelajar yang tinggal di luar supaya sentiasa berhati-hati agar kejadian tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.

Sinar Harian 24 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment