February 26, 2016

Pelajar OKU impikan kaki palsu

Siti Aishah melihat kaki kiri Muhammad Aidil (kiri) yang kudung selepas terbabit kemalangan jalan raya pada 2013.

KUALA PILAH - Terbabit kemalangan jalan raya hampir tiga tahun lalu menyebabkan seorang pelajar tingkatan empat kehilangan kaki kirinya sehingga terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.

Muhammad Aidil Aswad Masli, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad (TMS), di sini bagaimanapun menganggap ia sebagai takdir yang perlu diterima dengan hati reda.

Mengimbas kembali tragedi kira-kira 3.30 petang pada 30 Mac 2013, Muhammad Aidil menunggang motosikal untuk menghantar ibunya, Siti Aishah Syed Alwie, 50, ke tempat kerja dari arah Kampung Gentam ke Kampung Parit.

Bagaimanapun, mereka berdua terbabas, lalu dirempuh sebuah kenderaan sehingga menyebabkan kaki kiri Muhammad Aidil putus, manakala ibunya cedera di jari kaki kiri, patah kaki kiri dan mengalami gegaran otak yang serius.

Katanya, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, selama tiga minggu, sementara ibunya koma selama dua bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Buat masa ini, saya pergi ke sekolah setiap hari menggunakan tongkat. Mujur kelas saya berada di tingkat bawah dan tidak perlu menaiki tangga. Abang ipar saya yang akan hantar dan ambil saya ke sekolah," katanya.

Namun jauh di sudut hati Muhammad Aidil mengharapkan dapat memiliki kaki palsu untuk memudahkan pergerakannya.

"Saya berharap supaya suatu hari nanti saya boleh pakai kaki palsu bagi memudahkan pergerakan saya,” kata anak bongsu dari tiga beradik ini.

Sementara itu, ibunya, Siti Aishah berkata, kehidupannya sekeluarga semakin terhimpit memandangkan dia sudah tiga tahun tidak bekerja, sekali gus tidak mampu menampung perbelanjaan menempah kaki palsu yang kosnya mencecah RM16, 500.

“Pada awalnya kami meminta bantuan dari Baitulmal. Baitulmal setuju membayar kos kaki palsu sebanyak RM10,000.

“Tapi nak dapatkan RM6,500 lagi, saya tak mampu. Saya dah tak bekerja, kini bergantung harap kepada anak sulung untuk tampung perbelanjaan harian kami semua,” katanya merupakan seorang ibu tunggal.

Selain itu, katanya, dia yang turut mengalami penyakit diabetes memerlukan kos rawatan susulan ekoran tiga ibu jari kirinya dipotong selepas kemalangan berkenaan.

Orang ramai yang mahu membantu, boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun 1550-4179-1203 (Maybank) atas nama Nor Nadia Atika Masli.

Sinar Harian 25 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment