February 1, 2016

Pekerja kilang maut digilis treler


Mangsa yang terjatuh digilis tayar belakang treler berkenaan.

BAYAN LEPAS - Seorang pekerja kilang maut selepas digilis sebuah treler dalam satu kejadian kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung, di sini tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Aiman Shamsuddin, 23, yang menunggang motosikal bersama seorang lagi rakannya dikatakan cuba memintas treler berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak sempat memintas kenderaan berat itu dan tersepit di antara penghadang jalan dan treler terbabit sebelum terjatuh dan digilis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, ketika kejadian, aliran trafik bergerak perlahan dan keadaan jalan yang sempit menyebabkan mangsa tersepit selepas gagal memintas kenderaan berat itu.

“Mangsa yang berasal dari Simpang Ampat, Seberang Perai disahkan maut di tempat kejadian selepas digilis tayar belakang treler terbabit.

“Rakan mangsa yang membonceng motosikal berkenaan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Fah Hin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 28 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment