February 28, 2016

Pegawai Imigresen maut motosikal terbabas

MUHAMMAD Amza.

Sungai Petani: Pegawai Jabatan Imigresen Kedah maut selepas motosikal yang ditunggangi hilang kawalan lalu terbabas dalam kemalangan di Jalan Jeniang-Gurun, di sini, tengah malam tadi.

Kemalangan berlaku pada 12.30 tengah malam ketika mangsa Muhammad Amzar Norani, 21, dalam perjalanan ke rumah sewanya di Gurun selepas selesai bertugas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa terbabas lalu terbalik dalam perjalanan dari Depoh Tahanan Imigresen di Belantik, Sik ke Gurun.

Menurutnya, akibat itu mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham sudah dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengkebumian di kampung halamannya di Serdang, Bandar Baharu.

myMetro 26 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment