February 19, 2016

Parah dihempap tembok konkrit

KAWASAN tembok yang runtuh (kiri) dan mangsa ditengkan rakannya. FOTO Mohd Shafik Zainol Abidin

Alor Gajah: Pekerja asing warganegara Myanmar berusia 20-an parah pada kedua-dua kaki selepas dihempap tembok konkrit yang runtuh di kilang di Kelemak, 5.40 petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Asnizam Kamberon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.43 petang tadi.

"Lapan anggota bersama sebuah jentera dan ambulans Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika sampai mangsa masih sedarkan diri, hanya kaki lelaki itu yang tersepit di bawah runtuhan konkrit. Kami kemudian mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk menerima rawatan kecemasan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama beberapa rakannya sedang melakukan kerja menaik taraf tembok berkenaan, namun struktur itu tiba-tiba runtuh ketika dia melakukan kerja menyimen.

myMetro 17 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment