February 8, 2016

Pandu laju hingga terbabas


Kuala Lumpur: Kadar kemalangan meningkat, di mana silapnya? Itulah persoalan yang sering ditanya dan tidak menemui penyelesaian sehingga kini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 6,706 pengguna jalan raya maut tahun lalu dalam nahas jalan raya selain 4,120 individu parah, manakala 7,432 lagi cedera ringan.

Jumlah itu boleh dianggap membimbangkan apatah lagi jumlah kes kemalangan jalan raya meningkat berbanding 2014.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mahamad Akhir Derus berkata, mengikut rekod, sebanyak 489,606 kemalangan dicatatkan pada 2015 iaitu peningkatan 2.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, antara faktor yang dikenal pasti menjadi punca utama kemalangan adalah memandu laju sehingga terbabas sendiri yang menjadi penyumbang utama kepada kenaikan angka kemalangan maut dengan 1,713 kes sepanjang tahun lalu.

“Selain itu, faktor lain seperti memandu secara ‘makan jalan’ menyumbang 764 kes kemalangan dan 689 kes lagi disebabkan sikap memotong kenderaan di hadapan.

“Daripada jumlah itu, penunggang dan pembonceng motosikal menjadi penyumbang utama kepada indeks kemalangan maut di negara ini dengan mencatatkan 4,203 kes kemalangan mewakili 62.7 peratus,” katanya.

Menurutnya, satu petunjuk ramai pemandu yang memandu secara laju di negara ini adalah berdasarkan kepada 6.5 juta saman dikeluarkan polis sepanjang tahun lalu yang mana 60 peratus daripadanya membabitkan kesalahan memandu secara laju.

“Ini menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memandu mengikut kelajuan dibenarkan di negara ini.

“Sikap pengguna jalan raya adalah faktor sukar dikekang berbanding faktor lain dan polis sentiasa menganjurkan program keselamatan jalan raya untuk mewujudkan kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pemandu serta penunggang motosikal,” katanya.

Mahamad Akhir berkata, pengguna seharusnya sentiasa mengingatkan kepada diri sendiri, pemanduan secara laju dan melulu tidak saja membahayakan nyawa mereka sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

myMetro 7 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment